TIADA SESUATU YANG SANGAT BERGUNA BAGI HATI SEBAGAIMANA UZLAH UNTUK MASUK KE MEDAN TAFAKUR.
Kalam-kalam Hikmat
pertama hingga ke sebelas telah memberi gambaran tentang keperibadian tauhid
yang halus-halus. Seseorang yang mencintai Allah s.w.t dan mahu berada
di sisi-Nya sangat ingin untuk mencapai keperibadian yang demikian. Dalam
membentuk keperibadian itu dia gemar mengikuti landasan syariat, kuat beribadat
dan menjauhkan diri dari perbuatan maksiat dan dosa. Dia sering bangun
pada malam hari untuk melakukan sembahyang tahajud dan selalu pula melakukan
puasa sunat. Dia menjaga tingkah-laku dan akhlak dengan mencontohi apa
yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Hasil daripada kesungguhannya itu terbentuklah
padanya keperibadian seorang muslim yang baik. Walaupun demikian dia masih
tidak mencapai kepuasan dan kedamaian. Dia masih tidak mengerti tentang
Allah s.w.t. Banyak persoalan yang timbul di dalam kepalanya yang tidak
mampu dihuraikannya. Dia telah bertanya kepada mereka yang alim, tetapi
dia tidak mendapat jawapan yang memuaskan hatinya. Jika ada pun jawapan
yang baik disampaikan kepadanya dia tidak dapat menghayati apa yang telah
diterangkan itu. Dia mengkaji kitab-kitab tasauf yang besar-besar.
Ulama tasauf telah memberikan penjelasan yang mampu diterima oleh
akalnya namun, dia masih merasakan kekosongan di satu sudut di dalam dirinya.
Bolehlah dikatakan yang dia sampai kepada perbatasan akalnya.
Hikmat 12 ini memberi
petunjuk kepada orang yang gagal mencari jawapan dengan kekuatan akalnya.
Jalan yang disarankan ialah uzlah atau mengasingkan diri dari orang ramai.
Jika dalam suasana biasa akal tidak mampu memecahkan kubu kebuntuan, dalam
suasana uzlah hati mampu membantu akal secara tafakur, merenungi perkara-perkara
yang tidak boleh difikirkan oleh akal biasa. Uzlah yang disarankan oleh
Hikmat 12 ini bukanlah uzlah sebagai satu cara hidup yang berterusan tetapi
ia adalah satu bentuk latihan kerohanian bagi memantapkan rohani agar akalnya
dapat menerima pancaran Nur Kalbu kerana tanpa sinaran Nur Kalbu tidak
mungkin akal dapat memahami hal-hal ketuhanan yang halus-halus, dan tidak
akan diperolehi iman dan tauhid yang hakiki.
Hati adalah
bangsa rohani atau nurani iaitu hati berkemampuan mengeluarkan nur jika
ia berada di dalam keadaan suci bersih. nur yang dikeluarkan oleh hati
yang suci bersih itu akan menerangi otak yang bertempat di kepala yang
menjadi kenderaan akal. Akal yang diterangi oleh nur akan dapat mengimani
perkara-perkara ghaib yang tidak dapat diterima oleh hukum logik. Beriman
kepada perkara ghaib menjadi jalan untuk mencapai tauhid yang hakiki.
Nabi Muhammad
s.a.w sebelum diutus sebagai Rasul pernah juga mengalami kebuntuan akal
tentang hal ketuhanan. Pada masa itu ramai pendeta Nasrani dan Yahudi yang
arif tentang hal tersebut, tetapi Nabi Muhammad s.a.w tidak pergi kepada
mereka untuk mendapatkan jawapan yang mengganggu fikiran baginda s.a.w,
sebaliknya baginda s.a.w telah memilih jalan uzlah. Ketika umur baginda
s.a.w 36 tahun baginda s.a.w melakukan uzlah di Gua Hiraa. Baginda s.a.w
tinggal sendirian di dalam gua yang sempit lagi gelap, terpisah dari isteri,
anak-anak, keluarga, masyarakat hinggakan cahaya matahari pun tidak menghampiri
baginda s.a.w. Amalan uzlah yang demikian baginda s.a.w lakukan secara
berulang-ulang sehingga umur baginda s.a.w mencapai 40 tahun. Masa yang
paling baginda s.a.w gemar beruzlah di Gua Hiraa’ ialah pada bulan Ramadan.
Latihan uzlah yang baginda lakukan dari umur 36 hingga 40 tahun itu telah
memantapkan rohani baginda s.a.w sehingga berupaya menerima tanggungjawab
sebagai Rasul. Latihan semasa uzlah telah menyucikan hati baginda s.a.w
dan meneguhkannya sehingga hati itu mampu menerangi akal untuk mentafsir
wahyu secara halus dan lengkap. Wahyu yang dibacakan oleh Jibrail
a.s hanyalah singkat tetapi Rasulullah s.a.w dapat menghayatinya, memahaminya
dengan tepat, mengamalkannya dengan tepat dan menyampaikannya kepada umatnya
dengan tepat meskipun baginda s.a.w tidak tahu membaca dan menulis.
Begitulah kekuatan
dan kebijaksanaan yang lahir dari latihan semasa uzlah. Tanpa latihan dan
persiapan yang cukup seseorang tidak dapat masuk ke dalam medan tafakur
tentang ketuhanan. Orang yang masuk ke dalam medan ini tanpa persediaan
dan kekuatan akan menemui kebuntuan. Jika dia masih juga merempuh tembok
kebuntuan itu dia akan jatuh ke dalam jurang gila.
Orang awam
hidup dalam suasana: “Tugas utama adalah menguruskan kehidupan harian dan
tugas sambilan pula menghubungkan diri dengan Allah s.w.t”. Orang yang
di dalam suasana ini sentiasa ada masa untuk apa juga aktiviti tetapi sukar
mencari kesempatan untuk bersama-sama Allah s.w.t. Orang yang seperti ini
jika diperingatkan supaya mengurangkan aktiviti kehidupannya dan memperbanyakkan
aktiviti perhubungan dengan Allah s.w.t mereka memberi alasan bahawa Rasulullah
s.a.w dan sahabat-sahabat baginda s.a.w tidak meninggalkan dunia lantaran
sibuk dengan Allah s.w.t. Mereka ini lupa atau tidak mengerti bahawa Rasulullah
s.a.w dan para sahabat telah mendapat wisal atau penyerapan hal yang berkekalan.
Hati mereka tidak berpisah lagi dengan Allah s.w.t. Kesibukan menguruskan
urusan harian tidak membuat mereka lupa kepada Allah s.w.t walau satu detik
pun. Orang yang mata hatinya masih tertutup dan cermin hatinya tidak menerima
pancaran Nur Sir, tidak mungkin hatinya berhadap kepada Allah s.w.t
ketika sedang sibuk melayani makhluk Allah s.w.t. Orang yang insaf akan
kelemahan dirinya akan mengikuti jalan yang dipelopori oleh Rasulullah
s.a.w dan diikuti oleh para sahabat iaitu memisahkan diri dengan semua
jenis kesibukan terutamanya pada satu pertiga malam yang akhir. Tidak ada
hubungan dengan orang ramai. Tidak dikunjung dan tidak mengunjungi. Tidak
ada surat khabar, radio dan televisyen. Tidak ada perhubungan dengan segala
sesuatu kecuali perhubungan dengan Allah s.w.t.
Dalam perjalanan
tarekat tasauf amalan uzlah dilakukan dengan bersistematik
dan latihan yang demikian dinamakan suluk. Orang yang menjalani suluk dinamakan
murid atau salik. Si salik menghabiskan kebanyakan daripada masanya di
dalam bilik khalwat dengan diawasi dan dibimbing oleh gurunya. Latihan
bersuluk memisahkan salik dengan hijab yang paling besar bagi orang yang
baharu menjalani jalan kerohanian iaitu pergaulan dengan orang ramai. Imannya
belum cukup teguh dan mudah menerima rangsangan daripada luar yang boleh
menggelincirkannya untuk melakukan maksiat dan melalaikan hatinya daripada
mengingati Allah s.w.t. Apabila dia dipisahkan dari dunia luar jiwanya
lebih aman dan tenteram mengadakan perhubungan dengan Allah s.w.t.
Semasa beruzlah,
bersuluk atau berkhalwat, si murid bersungguh-sungguh di dalam bermujahadah
memerangi hawa nafsu dan tarikan duniawi. Dia memperbanyakkan sembahyang,
puasa dan berzikir. Dia mengurangkan tidur kerana memanjangkan masa beribadat.
Kegiatan beribadat dan pelepasan ikatan nafsu dan duniawi menjernihkan
cermin hatinya. Hati yang suci bersih menghala ke alam ghaib iaitu Alam
Malakut. Hati mampu menerima isyarat-isyarat dari alam ghaib. Isyarat
yang diterimanya hanyalah sebentar tetapi cukup untuk menarik minatnya
bagi mengkaji apa yang ditangkap oleh hatinya itu. Terjadilah perbahasan
di antara fikirannya dengan dirinya sendiri. Pada masa yang sama dia menjadi
penanya dan penjawab, murid dan pengajar. Perbahasan dengan diri sendiri
itu dinamakan tafakur.
Pertanyaan
timbul dalam fikirannya namun, fikirannya tidak dapat memberi jawapan.
Ketika fikirannya meraba-raba mencari jawapan, dia mendapat bantuan daripada
hatinya yang sudah suci bersih. Hati yang berkeadan begini mengeluarkan
nur yang menerangi akal, lalu jalan fikirannya terus menjadi terang. Sesuatu
persoalan yang pada mulanya difikirkan rumit dan mengelirukan, tiba-tiba
menjadi mudah dan terang. Dia mendapat jawapan yang memuaskan hatinya kepada
persoalan yang dahulunya mengacau fikiran dan jiwanya. Dia menjadi bertambah
berminat untuk bertafakur menghuraikan segala kekusutan yang tidak dapat
dihuraikannya selama ini. Dia gemar merenung segala perkara dan berbahas
dengan dirinya, menghubungkannya dengan Tuhan sehingga dia mendapat jawapan
yang memuaskan hatinya. Semakin dia bertafakur semakin terbuka kegelapan
yang menutupi fikirannya. Dia mula memahami tentang hakikat, hubung-kait
antara makhluk dengan Tuhan, rahsia Tenaga Ilahi dalam perjalanan alam
dan sebagainya.
Isyarat-isyarat
tauhid yang diterima oleh hatinya membuat mata hatinya melihat bekas-bekas
Tangan Allah s.w.t dalam alam maya ini. Dia dapat melihat bahawa semuanya
adalah ciptaan Allah s.w.t, gubahan-Nya, lukisan-Nya dan peraturan-Nya.
Hasil dari kegiatan bertafakur tentang Tuhan membawa dia bermakrifat kepada
Allah s.w.t melalui akalnya. Makrifat secara akal menjadi kemudi baginya
untuk mencapai makrifat secara zauk.
Dalam pengajian ketuhanan
akal hendaklah tunduk mengakui kelemahannya. Akal hendaklah sedar bahawa
ia tidak mampu memahami perkara ghaib. Oleh itu akal perlu meminta bantuan
hati. Hati perlu digilap supaya bercahaya. Dalam proses menggilap hati
itu akal tidak perlu banyak mengadakan hujah. Hujah akal melambatkan proses
penggilapan hati. Sebab itulah Hikmat 12 menganjurkan supaya mengasingkan
diri. Di dalam suasana pengasingan nafsu menjadi lemah dan akal tidak lagi
mengikut telunjuk nafsu. Baharulah hati dapat mengeluarkan cahayanya. Cahaya
hati menyuluh kepada alam ghaib. Apabila alam ghaib sudah terang benderang
baharulah akal mampu memahami hal ketuhanan yang tidak mampu dihuraikannya
sebelum itu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar