KEINGINAN KAMU UNTUK BERTAJRID PADAHAL ALLAH MASIH MELETAKKAN KAMU DALAM SUASANA ASBAB ADALAH SYAHWAT YANG SAMAR, SEBALIKNYA KEINGINAN KAMU UNTUK BERASBAB PADAHAL ALLAH TELAH MELETAKKAN KAMU DALAM SUASANA TAJRID BERERTI TURUN DARI SEMANGAT DAN TINGKAT YANG TINGGI.
Hikmat 1 menerangkan tanda orang yang bersandar
kepada amal. Bergantung kepada amal adalah sifat manusia biasa yang hidup
dalam dunia ini. Dunia ini dinamakan alam asbab. Apabila perjalanan hidup
keduniaan dipandang melalui mata ilmu atau mata akal akan dapat disaksikan
kerapian susunan sistem sebab musabab yang mempengaruhi segala kejadian.
Tiap sesuatu berlaku menurut sebab yang menyebabkan ia berlaku. Hubungan
sebab dengan akibat sangat erat. Mata akal melihat dengan jelas keberkesanan
sebab dalam menentukan akibat. Kerapian sistem sebab musabab ini membolehkan
manusia mengambil manfaat daripada anasir dan kejadian alam. Manusia
dapat menentukan anasir yang boleh memudaratkan kesihatan lalu menjauhkannya
dan manusia juga boleh menentukan anasir yang boleh menjadi ubat lalu menggunakannya.
Manusia boleh membuat ramalan cuaca, pasang surut air laut, angin, ombak,
letupan gunung berapi dan lain-lain kerana sistem yang mengawal perjalanan
anasir alam berada dalam suasana yang sangat rapi dan sempurna, membentuk
hubungan sebab dan akibat yang padu.
Allah s.w.t mengadakan sistem sebab musabab
yang rapi adalah untuk kemudahan manusia menyusun kehidupan mereka di dunia
ini. Kekuatan akal dan pancaindera manusia mampu mentadbir kehidupan yang
dikaitkan dengan perjalanan sebab musabab. Hasil daripada pemerhatian dan
kajian akal itulah lahir berbagai-bagai jenis ilmu tentang alam dan kehidupan,
seperti ilmu sains, astronomi, kedoktoran, teknologi maklumat dan sebagainya.
Semua jenis ilmu itu dibentuk berdasarkan perjalanan hukum sebab-akibat.
Kerapian sistem sebab musabab menyebabkan manusia terikat kuat dengan hukum sebab-akibat. Manusia bergantung kepada amal (sebab) dalam mendapatkan hasil (akibat). Manusia yang melihat kepada keberkesanan sebab dalam menentukan akibat serta bersandar dengannya dinamakan ahli asbab.
Kerapian sistem sebab musabab menyebabkan manusia terikat kuat dengan hukum sebab-akibat. Manusia bergantung kepada amal (sebab) dalam mendapatkan hasil (akibat). Manusia yang melihat kepada keberkesanan sebab dalam menentukan akibat serta bersandar dengannya dinamakan ahli asbab.
Sistem sebab musabab atau perjalanan hukum
sebab-akibat sering membuat manusia lupa kepada kekuasaan Allah s.w.t.
Mereka melakukan sesuatu dengan penuh keyakinan bahawa akibat akan lahir
daripada sebab, seolah-olah Allah s.w.t tidak ikut campur dalam urusan
mereka. Allah s.w.t tidak suka hamba-Nya ‘mempertuhankan’ sesuatu kekuatan
sehingga mereka lupa kepada kekuasaan-Nya. Allah s.w.t tidak suka jika
hamba-Nya sampai kepada tahap mempersekutukan diri-Nya dan kekuasaan-Nya
dengan anasir alam dan hukum sebab-akibat ciptaan-Nya. Dia yang meletakkan
keberkesanan kepada anasir alam berkuasa membuat anasir alam itu lemah
semula. Dia yang meletakkan kerapian pada hukum sebab-akibat berkuasa merombak
hukum tersebut. Dia mengutuskan rasul-rasul dan nabi-nabi membawa mukjizat
yang merombak hukum sebab-akibat bagi mengembalikan pandangan manusia kepada-Nya,
agar waham sebab musabab tidak menghijab ketuhanan-Nya. Kelahiran Nabi
Isa a.s, terbelahnya laut dipukul oleh tongkat Nabi Musa a.s, kehilangan
kuasa membakar yang ada pada api tatkala Nabi Ibrahim a.s masuk ke dalamnya,
keluarnya air yang jernih dari jari-jari Nabi Muhammad s.a.w dan banyak
lagi yang didatangkan oleh Allah s.w.t, merombak keberkesanan hukum sebab-akibat
bagi menyedarkan manusia tentang hakikat bahawa kekuasaan Allah s.w.t yang
menerajui perjalanan alam maya dan hukum sebab-akibat. Alam dan hukum yang
ada padanya seharusnya membuat manusia mengenal Tuhan, bukan menutup
pandangan kepada Tuhan. Sebahagian daripada manusia diselamatkan Allah
s.w.t daripada waham sebab musabab.
Sebagai manusia yang hidup dalam dunia
mereka masih bergerak dalam arus sebab musabab tetapi mereka tidak meletakkan
keberkesanan hukum kepada sebab. Mereka sentiasa melihat kekuasaan Allah
s.w.t yang menetapkan atau mencabut keberkesanan pada sesuatu hukum sebab-akibat.
Jika sesuatu sebab berjaya mengeluarkan akibat menurut yang biasa terjadi,
mereka melihatnya sebagai kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan kekuatan
kepada sebab tersebut dan Allah s.w.t juga yang mengeluarkan akibatnya.
Allah s.w.t berfirman:
Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 1 & 2 : Surah al-Hadiid )
Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu”. (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Nya, supaya kamu memahaminya. ( Ayat 73 : Surah al-Baqarah )
Orang yang melihat kepada kekuasaan Allah
s.w.t menerajui hukum sebab-akibat tidak meletakkan keberkesanan
kepada hukum tersebut. Pergantungannya kepada Allah s.w.t, tidak
kepada amal yang menjadi sebab. Orang yang seperti ini dipanggil ahli tajrid.
Ahli tajrid, seperti juga ahli asbab, melakukan
sesuatu menurut peraturan sebab-akibat. Ahli tajrid juga makan dan minum
Ahli tajrid memanaskan badan dan memasak dengan menggunakan api juga. Ahli
tajrid juga melakukan sesuatu pekerjaan yang berhubung dengan rezekinya.
Tidak ada perbezaan di antara amal ahli tajrid dengan amal ahli asbab.
Perbezaannya terletak di dalam diri iaitu hati. Ahli asbab melihat kepada
kekuatan hukum alam. Ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t pada
hukum alam itu. Walaupun ahli asbab mengakui kekuasaan Allah s.w.t tetapi
penghayatan dan kekuatannya pada hati tidak sekuat ahli tajrid.
Dalam melakukan kebaikan ahli asbab perlu
melakukan mujahadah. Mereka perlu memaksa diri mereka berbuat baik dan
perlu menjaga kebaikan itu agar tidak menjadi rosak. Ahli asbab perlu memperingatkan
dirinya supaya berbuat ikhlas dan perlu melindungi keikhlasannya agar tidak
dirosakkan oleh riak (berbuat baik untuk diperlihatkan kepada orang lain
agar dia dikatakan orang baik), takbur (sombong dan membesar diri, merasakan
diri sendiri lebih baik, lebih tinggi, lebih kuat dan lebih cerdik daripada
orang lain) dan sama’ah (membawa perhatian orang lain kepada kebaikan yang
telah dibuatnya dengan cara bercerita mengenainya, agar orang memperakui
bahawa dia adalah orang baik). Jadi, ahli asbab perlu memelihara kebaikan
sebelum melakukannya dan juga selepas melakukannya. Suasana hati ahli tajrid
berbeza daripada apa yang dialami oleh ahli asbab. Jika ahli asbab memperingatkan
dirinya supaya ikhlas, ahli tajrid tidak melihat kepada ikhlas kerana mereka
tidak bersandar kepada amal kebaikan yang mereka lakukan. Apa juga kebaikan
yang keluar daripada mereka diserahkan kepada Allah s.w.t yang mengurniakan
kebaikan tersebut. Ahli tajrid tidak perlu menentukan perbuatannya ikhlas
atau tidak ikhlas. Melihat keihklasan pada perbuatan sama dengan melihat
diri sendiri yang ikhlas. Apabila seseorang merasakan dirinya sudah ikhlas,
padanya masih tersembunyi keegoan diri yang membawa kepada riak, ujub (merasakan
diri sendiri sudah baik) dan sama’ah. Apabila tangan kanan berbuat ikhlas
dalam keadaan tangan kiri tidak menyedari perbuatan itu baharulah tangan
kanan itu benar-benar ikhlas. Orang yang ikhlas berbuat kebaikan dengan
melupakan kebaikan itu. Ikhlas sama seperti harta benda. Jika seorang miskin
diberi harta oleh jutawan, orang miskin itu malu mendabik dada kepada jutawan
itu dengan mengatakan yang dia sudah kaya. Orang tajrid yang diberi ikhlas
oleh Allah s.w.t mengembalikan kebaikan mereka kepada Allah s.w.t. Jika
harta orang miskin itu hak si jutawan tadi, ikhlas orang tajrid adalah
hak Allah s.w.t. Jadi, orang asbab bergembira kerana melakukan perbuatan
dengan ikhlas, orang tajrid pula melihat Allah s.w.t yang mentadbir
sekalian urusan. Ahli asbab dibawa kepada syukur, ahli tajrid berada dalam
penyerahan.
Kebaikan yang dilakukan oleh ahli asbab
merupakan teguran agar mereka ingat kepada Allah s.w.t yang memimpin mereka
kepada kebaikan. Kebaikan yang dilakukan oleh ahli tajrid merupakan kurniaan
Allah s.w.t kepada kumpulan manusia yang tidak memandang kepada diri mereka
dan kepentingannya. Ahli asbab melihat kepada keberkesanan hukum sebab-akibat.
Ahli tajrid pula melihat kepada keberkesanan kekuasaan dan ketentuan Allah
s.w.t. Dari kalangan ahli tajrid, Allah s.w.t memilih sebahagiannya dan
meletakkan kekuatan hukum pada mereka. Kumpulan ini bukan sekadar tidak
melihat kepada keberkesanan hukum sebab-akibat, malah mereka berkekuatan
menguasai hukum sebab-akibat itu. Mereka adalah nabi-nabi dan wali-wali
pilihan. Nabi-nabi dianugerahkan mukjizat dan wali-wali dianugerahkan kekeramatan.
Mukjizat dan kekeramatan merombak keberkesanan hukum sebab-akibat.
Di dalam kumpulan wali-wali pilihan yang
dikurniakan kekuatan mengawal hukum sebab-akibat itu terdapatlah orang-orang
seperti Syeikh Abdul Kadir al-Jailani, Abu Hasan as-Sazili, Rabiatul Adawiah,
Ibrahim Adham dan lain-lain. Cerita tentang kekeramatan mereka sering diperdengarkan.
Orang yang cenderung kepada tarekat tasauf gemar menjadikan
kehidupan aulia Allah s.w.t tersebut sebagai contoh, dan yang mudah memikat
perhatian adalah bahagian kekeramatan. Kekeramatan biasanya dikaitkan dengan
perilaku kehidupan yang zuhud dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t.
Timbul anggapan bahawa jika mahu memperolehi kekeramatan seperti mereka
mestilah hidup sebagaimana mereka. Orang yang berada pada peringkat permulaan
bertarekat cenderung untuk memilih jalan bertajrid iaitu membuang
segala ikhtiar dan bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Sikap
melulu bertajrid membuat seseorang meninggalkan pekerjaan, isteri, anak-anak,
masyarakat dan dunia seluruhnya. Semua harta disedekahkan kerana dia melihat
Saidina Abu Bakar as-Siddik telah berbuat demikian. Ibrahim bin Adham telah
meninggalkan takhta kerajaan, isteri, anak, rakyat dan negerinya lalu tinggal
di dalam gua. Biasanya orang yang bertindak demikian tidak dapat bertahan
lama. Kesudahannya dia mungkin meninggalkan kumpulan tarekatnya dan kembali
kepada kehidupan duniawi. Ada juga yang kembali kepada kehidupan yang lebih
buruk daripada keadaannya sebelum bertarekat dahulu kerana
dia mahu menebus kembali apa yang telah ditinggalkannya dahulu untuk bertarekat.
Keadaan yang demikian berlaku akibat bertajrid secara melulu. Orang yang
baharu masuk ke dalam bidang latihan kerohanian sudah mahu beramal seperti
aulia Allah s.w.t yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan
mencampak semua yang dimilikinya secara tergesa-gesa membuatnya berhadapan
dengan cabaran dan dugaan yang boleh menggoncangkan imannya dan mungkin
juga membuatnya berputus-asa. Apa yang harus dilakukan bukanlah meniru
kehidupan aulia Allah s.w.t yang telah mencapai makam yang tinggi secara
melulu. Seseorang haruslah melihat kepada dirinya dan mengenalpasti kedudukannya,
kemampuanya dan daya-tahannya. Ketika masih di dalam makam asbab seseorang
haruslah bertindak sesuai dengan hukum sebab-akibat. Dia harus bekerja
untuk mendapatkan rezekinya dan harus pula berusaha menjauhkan dirinya
daripada bahaya atau kemusnahan.
Ahli asbab perlu berbuat demikian kerana
dia masih lagi terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih lagi melihat
bahawa tindakan makhluk memberi kesan kepada dirinya. Oleh yang demikian
adalah wajar sekiranya dia mengadakan juga tindakan yang menurut pandangannya
akan mendatangkan kesejahteraan kepada dirinya dan orang lain. Tanda Allah
s.w.t meletakkan seseorang pada kedudukan sebagai ahli asbab ialah apabila
urusannya dan tindakannya yang menurut kesesuaian hukum sebab-akibat tidak
menyebabkannya mengabaikan kewajipan terhadap tuntutan agama. Dia tetap
berasa rengan untuk berbakti kepada Allah s.w.t, tidak gelojoh dengan nikmat
duniawi dan tidak berasa iri hati terhadap orang lain. Apabila ahli asbab
berjalan menurut hukum asbab maka jiwanya akan maju dan berkembang dengan
baik tanpa menghadapi kegoncangan yang besar yang boleh menyebabkan dia
berputus asa dari rahmat Allah s.w.t. Rohaninya akan menjadi kuat sedikit
demi sedikit dan menolaknya ke dalam makam tajrid secara selamat. Akhirnya
dia mampu untuk bertajrid sepenuhnya.
Ada pula orang yang dipaksa oleh takdir
supaya bertajrid. Orang ini asalnya adalah ahli asbab yang berjalan menurut
hukum sebab-akibat sebagaimana orang ramai. Kemungkinannya kehidupan seperti
itu tidak menambahkan kematangan rohaninya. Perubahan jalan perlu baginya
supaya dia boleh maju dalam bidang kerohanian. Oleh itu takdir bertindak
memaksanya untuk terjun ke dalam lautan tajrid. Dia akan mengalami keadaan
di mana hukum sebab-akibat tidak lagi membantunya untuk menyelesaikan masalahnya.
Sekiranya dia seorang raja, takdir mencabut kerajaannya. Sekiranya
dia seorang hartawan, takdir menghapuskan hartanya. Sekiranya dia
seorang yang cantik, takdir menghilangkan kecantikannya itu. Takdir
memisahkannya daripada apa yang dimiliki dan dikasihinya. Pada peringkat
permulaan menerima kedatangan takdir yang demikian, sebagai ahli asbab,
dia berikhtiar menurut hukum sebab-akibat untuk mempertahankan apa yang
dimiliki dan dikasihinya. Jika dia tidak terdaya untuk menolong dirinya
dia akan meminta pertolongan orang lain. Setelah puas dia berikhtiar termasuklah
bantuan orang lain namun, tangan takdir tetap juga merombak sistem
sebab-akibat yang terjadi ke atas dirinya. Apabila dia sendiri dengan dibantu
oleh orang lain tidak mampu mengatasi arus takdir maka dia tidak ada pilihan
kecuali berserah kepada takdir. Dalam keadaan begitu dia akan lari kepada
Allah s.w.t dan merayu agar Allah s.w.t menolongnya. Pada peringkat ini
seseorang itu akan kuat beribadat dan menumpukan sepenuh hatinya kepada
Tuhan. Dia benar-benar berharap Tuhan akan menolongnya mengembalikan apa
yang pernah dimilikinya dan dikasihinya. Tetapi, pertolongan tidak juga
sampai kepadanya sehinggalah dia benar-benar terpisah dari apa yang dimiliki
dan dikasihinya itu. Luputlah harapannya untuk memperolehinya kembali.
Redalah dia dengan perpisahan itu. Dia tidak lagi merayu kepada Tuhan sebaliknya
dia menyerahkan segala urusannya kepada Tuhan. Dia menyerah bulat-bulat
kepada Allah s.w.t, tidak ada lagi ikhtiar, pilihan dan kehendak diri sendiri.
Jadilah dia seorang hamba Allah s.w.t yang bertajrid. Apabila seseorang
hamba benar-benar bertajrid maka Allah s.w.t sendiri akan menguruskan kehidupannya.
Allah s.w.t menggambarkan suasana tajrid dengan firman-Nya:
Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ( Ayat 60 : Surah al-‘Ankabut )
Makhluk Allah s.w.t seperti burung, ikan,
kuman dan sebagainya tidak memiliki tempat simpanan makanan. Mereka adalah
ahli tajrid yang dijamin rezeki mereka oleh Allah s.w.t. Jaminan Allah
s.w.t itu meliputi juga bangsa manusia. Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang
hamba-Nya di dalam makam tajrid ialah Allah s.w.t memudahkan baginya rezeki
yang datang dari arah yang tidak diduganya. Jiwanya tetap tenteram
sekalipun terjadi kekurangan pada rezeki atau ketika menerima bala ujian.
Sekiranya ahli tajrid sengaja memindahkan
dirinya kepada makam asbab maka ini bermakna dia melepaskan jaminan Allah
s.w.t lalu bersandar kepada makhluk . Ini menunjukkan akan kejahilannya
tentang rahmat dan kekuasaan Allah s.w.t. Tindakan yang jahil itu boleh
menyebabkan berkurangan atau hilang terus keberkatan yang Allah s.w.t kurniakan
kepadanya. Misalnya, seorang ahli tajrid yang tidak mempunyai sebarang
pekerjaan kecuali membimbing orang ramai kepada jalan Allah s.w.t, walaupun
tidak mempunyai sebarang pekerjaan namun, rezeki datang kepadanya dari
berbagai-bagai arah dan tidak pernah putus tanpa dia meminta-minta atau
mengharap-harap. Pengajaran yang disampaikan kepada murid-muridnya sangat
berkesan sekali. Keberkatannya amat ketara seperti makbul doa dan ucapannya
biasanya menjadi kenyataan. Andainya dia meninggalkan suasana bertajrid
lalu berasbab kerana tidak puas hati dengan rezeki yang diterimanya maka
keberkatannya akan terjejas. Pengajarannya, doanya dan ucapannya tidak
seberkesan dahulu lagi. Ilham yang datang kepadanya tersekat-sekat dan
kefasihan lidahnya tidak selancar biasa.
Seseorang hamba haruslah menerima dan reda
dengan kedudukan yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya. Berserahlah kepada
Allah s.w.t dengan yakin bahawa Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.
Allah s.w.t tahu apa yang patut bagi setiap makhluk-Nya. Allah s.w.t sangat
bijak mengatur urusan hamba-hamba-Nya.
Keinginan kepada pertukaran makam merupakan
tipu daya yang sangat halus. Di dalamnya tersembunyi rangsangan nafsu yang
sukar disedari. Nafsu di sini merangkumi kehendak, cita-cita dan angan-angan.
Orang yang baharu terbuka pintu hatinya setelah lama hidup di dalam kelalaian,
akan mudah tergerak untuk meninggalkan suasana asbab dan masuk ke dalam
suasana tajrid. Orang yang telah lama berada dalam suasana tajrid, apabila
kesedaran dirinya kembali sepenuhnya, ikut kembali kepadanya adalah keinginan,
cita-cita dan angan-angan. Nafsu mencuba untuk bangkit semula menguasai
dirinya. Orang asbab perlulah menyedari bahawa keinginannya untuk berpindah
kepada makam tajrid itu mungkin secara halus digerakkan oleh ego diri yang
tertanam jauh dalam jiwanya. Orang tajrid pula perlu sedar keinginannya
untuk kembali kepada asbab itu mungkin didorong oleh nafsu rendah yang
masih belum berpisah dari hatinya. Ulama tasauf mengatakan seseorang
mungkin dapat mencapai semua makam nafsu, tetapi nafsu peringkat pertama
tidak kunjung padam. Oleh yang demikian perjuangan atau mujahadah mengawasi
nafsu sentiasa berjalan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar