ALAM
INI PADA ZAHIRNYA ADALAH TIPUAN DAN BATINNYA ADALAH PERINGATAN. NAFSU MEMANDANG
KEPADA ZAHIRNYA YANG MENIPU DAYA, SEMENTARA HATI PULA MEMANDANG KEPADA
BATINNYA YANG MEMBERI PERINGATAN.
Alam maya ini boleh dilihat melalui dua
aspek, iaitu aspek zahir dan aspek batin. Aspek zahir memperlihatkan satu
keadaan sementara aspek batin pula memperlihatkan keadaan yang lain. Bagi
memudahkan pemahaman alam boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu
alam rendah yang dikenali sebagai dunia dan alam tinggi yang dikenali sebagai
alam malaikat (alam malakut). Alam dunia adalah tempat kediaman manusia
dan juga musuh manusia iaitu syaitan. Manusia menjadi permata bagi dunia.
Dunia ini diciptakan khas untuk ditempatkan manusia buat melaksanakan hukum
ketentuan Allah s.w.t pada azali. Manusia dijadikan khalifah atau penguasa
yang bertanggungjawab menjalankan perundangan Tuhan yang telah siap digubal
dan dibentangkan. Dalam melaksanakan tugasnya manusia tidak dibiarkan dalam
kebingungan. Tuhan sentiasa menghantarkan ayat-ayat-Nya, tanda-tanda dan
petunjuk sebagai penyuluh jalan bagi manusia selaku pelaksana hukum Tuhan.
Ayat-ayat, tanda-tanda dan petunjuk yang disampaikan kepada manusia adalah
bersesuaian dengan sifat manusia dan alam dunia yang mereka diami. Utusan
Allah s.w.t yang menyampaikan ayat-ayat, tanda-tanda dan petunjuk kepada
manusia dipilih dari kalangan manusia sendiri dan bertutur dalam bahasa
manusia. Manusia mendengar para Rasul membacakan ayat-ayat Allah s.w.t
dalam bahasa yang mereka fahami. Rasul-rasul pada zahirnya bersifat sebagai
manusia tetapi pada batinnya adalah juru-bicara Allah s.w.t, menyampaikan
apa yang Allah s.w.t mahu sampaikan. Bahasa yang digunakan pada zahirnya
adalah bahasa manusia tetapi pada batinnya adalah Kalam Allah s.w.t.
Dalam melaksanakan tugas membawa
risalat, Rasul-rasul diperkuatkan dengan mukjizat. Mukjizat tersebut pada
zahirnya merupakan perubahan yang luar biasa terjadi pada anasir alam,
tetapi pada batinnya adalah pertunjukan kekuasaan Tuhan. Dalam kehidupan
harian manusia melihat berbagai-bagai kejadian seperti curahan air hujan,
tiupan angin, alunan ombak dan lain-lain. Mereka melihat kejadian alam
pada zahirnya tetapi pada batinnya adalah perjalanan peraturan Allah s.w.t.
Manusia juga pada zahirnya mengalami berbagai-bagai peristiwa tetapi pada
batinnya adalah takdir Ilahi. Jadi, seluruh aspek kehidupan dalam alam
dunia ini merangkumi aspek zahir dan aspek batin.
Aspek zahir memperlihatkan benda-benda
alam dan aspek batin menyatakan hubung-kait segala sesuatu dengan Tuhan.
Jika pandangan hanya tertuju kepada aspek zahir maka hanya benda-benda
alam dan peristiwa yang kelihatan, tidak ada kenyataan tentang Tuhan. Pandangan
yang hanya memperlihatkan alam akan mengwujudkan sikap bebas merdeka, tidak
berasa bergantung kepada Tuhan, tidak berasa malu melakukan maksiat jika
tidak dilihat oleh sesama manusia walaupun Tuhan melihatnya. Orang yang
memiliki pandangan begini adalah orang yang memperturutkan hawa nafsunya
yang sentiasa gelojoh dan berselera dengan benda-benda alam. Pandangan
yang seperti ini menjemput syaitan supaya ikut sama memperindahkan benda-benda
yang digemari oleh hawa nafsu itu. Pandangan nafsu yang membelakangi Tuhan
akan dibungkus oleh pandangan syaitan. Allah s.w.t berfirman:
Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahui-Nya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (wahai orang-orang yang ingkar) tidak mahu beringat dan insaf? ( Ayat 23 : Surah Jaathiyah )
Orang yang pandangan nafsunya dibungkus
oleh pandangan syaitan akan mengalami keadaan yang lebih berat.
(Dengan sebab keingkaran mereka), Allah meteraikan atas hati mereka serta pendengaran mereka, dan pada penglihatan mereka ada pentutupnya; dan bagi mereka pula disediakan azab seksa yang amat besar. ( Ayat 7 : Surah al-Baqarah )
Kesudahannya mereka sampai kepada keadaan:
(Orang-orang yang melakukan perkara-perkara tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya. (Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)? ( Ayat 23 & 24 : Surah Muhammad )
Pendengarannya tidak dapat lagi mendengar
kebenaran dan penglihatannya tidak dapat lagi melihat kebenaran. Inilah
keadaan orang yang dilaknat oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t telah melaknatkan
seorang hamba-Nya, maka berubah sifat hamba itu dari orang salih menjadi
iblis dan gugurlah segala amalan yang pernah dikerjakannya. Jika Allah
s.w.t melaknatkan seseorang bani Adam maka dia akan menjadi syaitan berbangsa
manusia. Manusia syaitan akan mendorong manusia lain supaya mengikutnya
pergi ke neraka. Supaya terselamat dari keadaan tersebut Rasulullah s.a.w
menasihatkan dengan peringatan:
Sesungguhnya di dalam jasad anak Adam itu ada seketul daging. Jika baik ia nescaya baiklah semua anggotanya. Bila jahat ia nescaya jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah, itulah kalbu (hati). ( Maksud Hadis )
Allah s.w.t berfirman:
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat). ( Ayat 9 – 10 : Surah asy-Syams )
Penyucian hati adalah penyelamat manusia
dari tertipu oleh benda-benda alam dan kejadian yang zahir. Hati yang suci
bersih dapat melihat terus ke dalam batin bagi setiap yang zahir. Bila
dia
mendengar bacaan ayat-ayat Quran hatinya mendengar ucapan Kalam Allah s.w.t.
Bila dia melihat sesuatu peristiwa terjadi, hatinya melihat perjalanan
takdir Allah s.w.t. Bila dia melihat sesuatu kegemparan hatinya melihat
kekuasaan Allah s.w.t. Apa juga yang zahir yang dilihatnya akan membuat
hatinya melihat manifestasi ketuhanan padanya. Tiada sesuatu yang terlepas
daripada ikatan ketuhanan (Ilahi).
Pandangan terhadap ketuhanan bukan
setakat alam dunia, malah rohaninya mencapai alam malakut dengan mata hatinya
tetap tidak berganjak dari melihat kepada ketuhanan. Hatinya melihat bahawa
malaikat tidak mempunyai kuasa walau sebesar zarah pun untuk berbuat sekehendaknya.
Semuanya tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. Walaupun sekalian malaikat
berkumpul untuk menolongnya dia tetap melihat bahawa Penolong sebenar adalah
Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam. Begitulah pandangan mata hati yang tidak
dilindungi oleh yang zahir untuk dia melihat kepada yang batin.