KEPANTASAN
YANG HAKIKI ADALAH ENGKAU LIPATKAN JARAK DUNIA DARI KAMU SEHINGGA ENGKAU
MELIHAT AKHIRAT LEBIH DEKAT KEPADA KAMU DARI DIRI KAMU SENDIRI.
Kepantasan perjalanan yang dimaksudkan
oleh Hikmat 97 ini bukanlah kepantasan perjalanan tubuh badan. Memang ada
orang yang boleh bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di atas
muka bumi ini dalam sekelip mata sahaja. Perjalanan yang demikian dipanggil
‘terlipatnya bumi.’ Kebanyakan orang cenderung untuk memiliki ilmu melipat
bumi ini kerana menyangka kebolehan yang demikian menjadi tanda kewalian
seseorang. Perlu diingatkan bahawa kebolehan yang demikian dimiliki juga
oleh iblis sedangkan iblis adalah musuh Tuhan, bukan wali-Nya. Jika berpegang
kepada Sunah Rasulullah s.a.w keramat zahir tidak dipentingkan. Rasulullah
s.a.w sendiri sewaktu berhijrah dari Makkah ke Madinah menggunakan kelajuan
manusia biasa, tidak kepantasan lipat bumi, padahal Rasulullah s.a.w adalah
manusia yang paling keramat, ketua sekalian wali. Rasulullah s.a.w menggunakan
jalan cermat, perlahan dan sukar, sesuai dengan sifat semula jadi manusia.
Perbuatan Rasulullah s.a.w menunjukkan bahawa kesabaran menghadapi perjalanan
yang sukar itulah yang sebenarnya kekeramatan, bukan perjalanan sepantas
kilat.
Kepantasan hakiki yang mampu melipat
jarak dunia bukanlah kepantasan tubuh badan bergerak dalam dunia. Ia adalah
perjalanan kerohanian ketika bertemu sesuatu dan menghadapi sebarang kejadian.
Ke manakah kerohaniannya pergi ketika itu? Orang yang memperturutkan pandangan
nafsunya, tempat jatuhnya adalah zahirnya alam dan sebab musabab. Tetapi,
orang yang melihat dengan pandangan hatinya akan melihat kepada batinnya
alam. Dia melihat ketuhanan dalam segala sesuatu. Sebaik sahaja dia berhadapan
dengan sesuatu perkara serta-merta pandangan hatinya tertuju kepada Allah
s.w.t yang menerbitkan segala perkara, hinggakan tidak sempat memerhatikan
benda-benda alam dan hukum sebab musabab.
Pandangan hati yang segera memerhatikan
Allah s.w.t dalam segala perkara itu dinamakan kepantasan hakiki. Tipu
daya dunia tidak sempat menyambar perhatian hatinya. Ego dirinya juga tidak
sempat bertunas. Perhatiannya tertuju kepada keabadian, tidak kepada dunia
dan dirinya yang bersifat sementara. Kurniaan Allah s.w.t yang menyelamatkan
hamba-Nya dari tarikan dunia dan ego dirinya adalah kekeramatan yang sebenar.
Rohaninya mempunyai kepantasan hakiki untuk melepasi ruang dunia dalam
sekelip mata lalu menyaksikan keabadian, hingga terasalah olehnya akhirat
yang kekal abadi itu lebih hampir dengan dirinya sendiri. Beginilah keadaan
orang arifbillah.