BUKANLAH
ORANG ARIF ORANG YANG MEMPEROLEHI ISYARAT LALU MERASAKAN ALLAH S.W.T LEBIH
DEKAT DARI ISYARATNYA. ORANG ARIF ADALAH ORANG YANG TIDAK MENYEDARI ISYARAT
KERANA FANA DALAM WUJUD ALLAH S.W.T DAN DILIPUTI OLEH SYUHUD (PENYAKSIAN)
KEPADA ALLAH S.W.T.
Hikmat yang lalu menggambarkan keadaan
orang awam yang dihijab oleh cahaya dunia dan syaitan sehingga mereka tidak
jadi untuk berbuat taat kepada Allah s.w.t. Hikmat 87 ini pula menggambarkan
keadaan orang yang berjalan pada jalan Allah s.w.t dan sudah pun mengalami
hakikat-hakikat tetapi cahaya hakikat masih menjadi hijab antaranya dengan
Allah s.w.t. Pengalaman tentang hakikat menurut istilah tasauf dipanggil
isyarat tauhid. Isyarat-isyarat tersebut apabila diterima oleh hati maka
hati akan mendapat pengertian tentang Allah s.w.t. Isyarat-isyarat demikian
membuatnya berasa hampir dengan Allah s.w.t. Orang yang berasa hampir dengan
Allah s.w.t tetapi masih melihat kepada isyarat-isyarat tersebut masih
belum mencapai makam arifbillah. Orang arifbillah sudah melepasi isyarat-isyarat
dan sampai kepada Allah s.w.t yang tidak boleh diisyaratkan lagi. Makam
ini dinamakan fana-fillah atau lebur kewujudan diri dalam Wujud Mutlak
dan penglihatan mata hati tertumpu kepada Allah s.w.t semata-mata, iaitu
dalam keadaan:
Tiada sesuatu
sebanding dengan-Nya.
Tidak ada nama yang mampu menceritakan
tentang Zat-Nya. Tidak ada sifat yang mampu menggambarkan tentang Zat-Nya.
Tidak ada isyarat yang mampu memperkenalkan Zat-Nya. Itulah Allah s.w.t
yang tidak ada sesuatu apa pun menyerupai-Nya. Maha Suci Allah s.w.t dari
apa yang disifatkan.
Murid yang berjaya dalam perjalanannya
mengalami berbagai-bagai hal. Pengalaman tersebut datang sebagai isyarat-isyarat
yang tiba-tiba sahaja tercetus di dalam hati, dan hati tiba-tiba sahaja
dapat menangkap sesuatu yang ghaib dan berkaitan dengan ketuhanan.
Pengalaman hati tersebut mencetuskan daya tafakur. Hasil dari tafakur dapatlah
dia memahami tentang Tuhan. Pengetahuan tentang ketuhanan itu membuatnya
merasakan hampir dengan Tuhan. Murid pada peringkat ini dapat melihat kelebihan
tauhid yang Allah s.w.t kurniakan kepadanya. Ini menunjukkan dia masih
berdalilkan pengalaman kerohaniannya secara tidak sedar bagi mendapat penjelasan
tentang tauhid.
Berbeza keadaannya daripada orang
arifbillah yang tidak lagi melihat kepada tauhid kerana dia sendiri telah
fana di dalam tauhid. Orang arifbillah mencapai kefanaan yang mutlak setelah
melalui empat peringkat kematian, dipanggil mati tabii, mati maknawi, mati
surri dan mati hisi. Mati cara ini bukanlah kematian tubuh badan tetapi
ia adalah pelenyapan segala sesuatu selain Allah s.w.t secara berperingkat-peringkat
dari alam kebatinan seseorang. Ia diistilahkan sebagai mati kerana pengalaman
demikian hanya berlaku setelah rohani seseorang dapat melepasi kurungan
duniawi dan masuk ke alam kebatinan yang mendalam atau dikatakan dia terjun
ke dalam dirinya sendiri. Rohani manusia bukanlah satu ruang seperti ruang-ruang
yang ada di dunia. Rohani adalah Latifah Rabbaniah, perkara ghaib yang
sangat seni dan dinisbahkan kepada Allah s.w.t, hanya Allah s.w.t mengetahui
hakikatnya. Rohani boleh dihalusi kepada beberapa peringkat. Peringkat
pertama dinamakan Latifah Kalbu (hati) yang menjadi asas kepada semua Latifah-Latifah.
Ia juga dinamakan tubuh batin. Peringkat yang lebih mendalam dinamakan
Latifah Roh yang dibahasakan sebagai roh haiwani iaitu nyawa yang menghidupkan
tubuh badan. Latifah Roh menjadi batin kepada Latifah Kalbu. Batin kepada
Latifah Roh pula dinamakan Latifah Sir yang dibahasakan sebagai roh insani,
yang membekalkan bakat kehidupan kepada roh haiwani dan seterusnya menghidupkan
jasad. Batin kepada Latifah Sir dinamakan Latifah Khafi dan batin yang
paling dalam dinamakan Latifah Akhfa.
Bila terbuka medan Latifah kalbu, hati
merasakan mati tabii. Kematian cara ini membuat fikiran tidak aktif. Hati
mendapat keasyikan tentang alam ghaib dan dalam keasyikan itu pendengaran
zahir tidak memberi kesan kepada hati dan fikiran. Dia tidak mendengar
apa-apa lagi kecuali suara hatinya yang menyebut Allah, Allah, Allah! Kemudian,
tanpa dipaksa-paksa lidahnya menyebut Allah, Allah, Allah! Setiap kali
dia menyebut Allah hatinya merasakan seolah-olah Allah menjawab seruannya
itu. Pada peringkat ini kesedaran diri lenyap di dalam lakuan Allah s.w.t.
Pemikiran, perasaan dan keinginan tidak berfungsi lagi. Semua perkara terhapus,
yang ada nur iman dan tauhid. Hatinya menghayati:
Tiada yang berbuat sesuatu melainkan Allah s.w.t.
Tiada yang berbuat sesuatu melainkan Allah s.w.t.
Dalam keadaan demikian dia menghayati firman
Allah s.w.t:
“Padahal Allah menjadikan
kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96
: Surah as-Saaffaat )
Dan tidaklah akan
berkehendak, kecuali jika dikehendaki oleh Allah, ( Ayat
29 : Surah at-Takwiir)
Orang yang memasuki alam kebatinan
peringkat ini melihat pergerakan yang terjadi pada dirinya berlaku tanpa
dia merancang dan juga dia tidak mampu menyekatnya dari berlaku. Keadaannya
sama seperti orang yang melihat dirinya di dalam mimpi. Dia tidak berkuasa
menyuruh atau melarang apa yang dirinya lakukan di dalam mimpi itu. Dia
seakan-akan melihat orang lain, bukan dirinya sendiri. Pengalaman yang
seperti di dalam mimpi itu dialami secara jaga oleh orang yang mencapai
fana peringkat pertama atau memasuki suasana mati tabii. Oleh sebab dia
melihat dengan jelas dan yakin akan perbuatan dirinya terjadi di luar bidang
kekuasaannya, maka perbuatan itu dinafikan keluar dari dirinya dan diisbatkan
kepada perbuatan Allah s.w.t. Dia menghayati bahawa Allah s.w.t jualah
yang melakukan segala perkara.
Setelah melepasi medan Latifah kalbu seseorang
itu masuk kepada medan Latifah Roh dan jika diizinkan Allah s.w.t
dia berpeluang mengalami suasana mati maknawi. Dalam suasana mati maknawi,
penglihatan mata zahir dikuasai oleh penglihatan mata hati. Mata zahir
tidak lagi tertarik kepada alam benda. Dia seolah-olah melihat cermin yang
ditembusi cahaya, maka sifat-sifat alam benda tidak berbekas pada pandangannya
ketika mata hatinya memandang kepada sifat Allah s.w.t Yang Maha Sempurna
dan Kekal. Kesedarannya terhadap sifat dirinya hilang dan dia dikuasai
oleh suasana sifat Allah s.w.t. Penghayatan hatinya pada ketika ini adalah:
Tiada yang
hidup melainkan Allah s.w.t.
Kefanaan pada peringkat ini membuat
seseorang melihat kepada keabadian. Dia tidak lagi melihat kepada jasad
yang akan binasa dan tidak juga kepada dunia yang bersifat sementara. Dia
dikuasai oleh suasana rohani yang tidak akan binasa kerana rohani hidup
menumpang Hayat Allah s.w.t.
Setelah melepasi medan Latifah Roh
dia masuk kepada medan Latifah Sir dan jika Allah s.w.t izinkan dia dapat
merasakan suasana mati surri. Dalam suasana mati surri, segala kewujudan
yang sementara dan sifat kemanusiaan terhapus dari alam kebatinannya. Dia
masuk ke alam ghaib yang penuh dengan Nur Ilahi. Nama Allah s.w.t berbekas
pada hatinya dan dia menghayati kenyataan:
Tiada yang terpuji melainkan Allah s.w.t.
Tiada yang terpuji melainkan Allah s.w.t.
Orang yang mengalami kefanaan ini
sudah terputus dari sifat-sifat kemanusiaan maka lahirlah perwatakan yang
ganjil dan aneh, tidak secucuk dengan tatasusila dan adab masyarakat. Cara
dia berpakaian, makan dan minum tidak seperti orang ramai lagi. Percakapannya
sukar dimengerti dan kadang-kadang menyinggung perasaan orang lain. Mungkin
juga terkeluar dari mulutnya ucapan yang pada zahirnya bersalahan dengan
syariat.
Setelah melepasi Latifah Sir seseorang
itu masuk ke dalam medan Latifah Khafi dan jika diizinkan Allah s.w.t dia
berpeluang memasuki susana mati hisi. Dalam suasana ini apa juga yang mengisi
alam ini lenyap dari alam perasaannya Tidak ada lagi pemikiran, perasaan,
bahasa, ruang, masa, ukuran dan rupa bentuk. Dia mengalami suasana yang
kosong, tiada isi, tiada rupa, tiada bahasa dan tidak boleh diperkatakan
apa-apa. Dia menghayati suasana:
Tiada yang
maujud secara mutlak melainkan Allah s.w.t.
Semua yang lain dari Allah s.w.t binasa,
Wujud Allah s.w.t yang tidak binasa. Keadaan kerohanian pada peringkat
ini adalah:
Zat yang
kosong dari makhluk, yang maujud hanya Allah s.w.t.
Setelah melepasi suasana kematian
dalam empat Latifah itu seseorang itu masuk kepada batin yang paling dalam
iaitu Latifah Akhfa. Dia sudah melepasi suasana fana dan masuk kepada suasana
baqabillah atau kekal bersama-sama Allah s.w.t. Dia sentiasa bersama-sama
Allah s.w.t baik ketika jaga mahu pun ketika tidur. Segala gerak gerinya
merupakan ibadat. Mata hatinya sentiasa memandang kepada Allah s.w.t. Kesibukannya
dengan apa jua urusan tidak melindungi penglihatan hakiki mata hatinya.
Tampak nyata baginya:
Tiada yang berkuasa melainkan Allah s.w.t; tiada yang berkehendak melainkan apa yang dikehendaki Allah s.w.t; tidak ada daya dan upaya melainkan daya dan upaya yang dari Allah s.w.t. Segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t dan kembali kepada-Nya.
Tiada yang berkuasa melainkan Allah s.w.t; tiada yang berkehendak melainkan apa yang dikehendaki Allah s.w.t; tidak ada daya dan upaya melainkan daya dan upaya yang dari Allah s.w.t. Segala sesuatu datangnya dari Allah s.w.t dan kembali kepada-Nya.
Mata hatinya melihat bahawa segala kewujudan
selain Zat Allah s.w.t, sifat Allah s.w.t, perbuatan Allah s.w.t dan asma’
Allah s.w.t hanyalah kewujudan yang tidak berhakikat. Inilah makam arifbillah,
iaitu orang yang benar-benar mengenal Allah s.w.t.