KEKUATAN SEMANGAT (AZAM, CITA-CITA, IKHTIAR) TIDAK BERUPAYA MEMECAHKAN BENTENG TAKDIR.
Kalam Hikmat yang pertama menyentuh tentang
hakikat amal yang membawa kepada pengertian tentang amal zahir dan amal
batin. Ia mengajak kita memerhatikan amal batin (suasana hati) berhubung
dengan amal zahir yang kita lakukan. Sebagai manusia biasa hati kita cenderung
untuk menaruh harapan dan meletakkan pergantungan kepada keberkesanan amal
zahir. Hikmat kedua memperjelaskan mengenainya dengan membuka pandangan
kita kepada suasana asbab dan tajrid. Bersandar kepada amal terjadi kerana
seseorang itu melihat kepada keberkesanan sebab dalam melahirkan akibat.
Apabila terlepas daripada waham sebab musabab baharulah seseorang itu masuk
kepada suasana tajrid.
Dua Hikmat yang lalu telah memberi
pendidikan yang halus kepada jiwa. Seseorang itu mendapat kefahaman bahawa
bersandar kepada amal bukanlah jalannya. Pengertian yang demikian melahirkan
kecenderungan untuk menyerah bulat-bulat kepada Allah s.w.t. Sikap menyerah
tanpa persediaan kerohanian boleh menggoncangkan iman. Agar orang yang
sedang meninggi semangatnya tidak terkeliru memilih jalan, dia diberi pengertian
mengenai kedudukan asbab dan tajrid. Pemahaman tentang makam asbab
dan tajrid membuat seseorang mendidik jiwanya agar menyerah kepada Allah
s.w.t dengan cara yang betul dan selamat bukan menyerah dengan cara yang
melulu.
Hikmat ke tiga ini pula mengajak kita merenung
kepada kekuatan benteng takdir yang memagar segala sesuatu. Ketika membincangkan
tentang ahli tajrid, kita dapati ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Tuhan
yang meletakkan keberkesanan kepada sesuatu sebab dan menetapkannya dalam
melahirkan akibat Ini bermakna semua kejadian dan segala hukum mengenai
sesuatu perkara berada di dalam pentadbiran Allah s.w.t. Dia yang menguasai,
mengatur dan mengurus setiap makhluk-Nya. Urusan ketuhanan yang menguasai,
mengatur dan mengurus atau suasana pentadbiran Allah s.w.t itu dinamakan
takdir. Tidak ada sesuatu yang tidak dikuasai, diatur dan diurus oleh Allah
s.w.t. Oleh itu tidak ada sesuatu yang tidak termasuk di dalam takdir.
Manusia terhijab daripada memandang kepada
takdir kerana waham sebab musabab. Kedirian seseorang menjadi alat sebab
musabab yang paling berkesan menghijab pandangan hati daripada melihat
kepada takdir. Keinginan, cita-cita, angan-angan, semangat, akal fikiran
dan usaha menutupi hati daripada melihat kepada kekuasaan, aturan dan urusan
Tuhan. Hijab kedirian itu jika disimpulkan ia boleh dilihat sebagai hijab
nafsu dan hijab akal. Nafsu yang melahirkan keinginan, cita-cita, angan-angan
dan semangat. Akal menjadi tentera nafsu, menimbang, merancang dan mengadakan
usaha dalam menjayakan apa yang dicetuskan oleh nafsu. Jika nafsu inginkan
sesuatu yang baik, akal bergerak kepada kebaikan itu. Jika nafsu inginkan
sesuatu yang buruk, akal itu juga yang bergerak kepada keburukan. Dalam
banyak perkara akal tunduk kepada arahan nafsu, bukan menjadi penasihat
nafsu. Oleh sebab itulah di dalam menundukkan nafsu tidak boleh meminta
pertolongan akal.
Dalam proses memperolehi penyerahan secara
menyeluruh kepada Allah s.w.t terlebih dahulu akal dan nafsu perlu ditundukkan
kepada kekuatan takdir. Akal mesti mengakui kelemahannya di dalam membuka
simpulan takdir. Nafsu mesti menerima hakikat kelemahan akal dalam perkara
tersebut dan ikut tunduk bersama-samanya. Bila nafsu dan akal sudah tunduk
baharulah hati boleh beriman dengan sebenarnya kepada takdir.
Beriman kepada takdir seharusnya
melahirkan penyerahan secara berpengetahuan bukan menyerah kepada kejahilan.
Orang yang jahil tentang hukum dan perjalanan takdir tidak dapat berserah
diri dengan sebenarnya kepada Allah s.w.t kerana disebalik kejahilannya
itulah nafsu akan menggunakan akal untuk menimbulkan keraguan terhadap
Allah s.w.t. Rohani orang yang jahil dengan hakikat takdir itu masih
terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan biasa. Dia masih melihat bahawa
makhluk boleh mendatangkan kesan kepada kehidupannya. Tindakan orang lain
dan kejadian-kejadian sering mengacau jiwanya. Keadaan yang demikian menyebabkan
dia tidak dapat bertahan untuk terus berserah diri kepada Tuhan. Sekiranya
dia memahami tentang hukum dan peraturan Tuhan dalam perkara takdir tentu
dia dapat bertahan dengan iman. Hadis menceritakan tentang takdir:
Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Wahai Rasulullah, apakah iman?” Jawab Rasulullah s.a.w, “Engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, Kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya dan Hari Kemudian. Juga engkau beriman dengan Qadar baiknya, buruknya, manisnya dan pahitnya adalah dari Allah s.w.t”. { Maksud Hadis }
Pandangan kita sering keliru dalam memandang
kepada takdir yang berlaku. Kita dikelirukan oleh istilah-istilah yang
biasa kita dengar Kita cenderung untuk merasakan seolah-olah Allah s.w.t
hanya menentukan yang asas sahaja sementara yang halus-halus ditentukan-Nya
kemudian iaitu seolah-olah Dia Melihat dan Mengkaji perkara yang
berbangkit baharulah Dia membuat keputusan. Kita merasakan apabila kita
berjuang dengan semangat yang gigih untuk mengubah perkara dasar yang telah
Allah s.w.t tetapkan dan Dia Melihat kegigihan kita itu dan bersimpati
dengan kita lalu Dia pun membuat ketentuan baharu supaya terlaksana takdir
baharu yang sesuai dengan perjuangan kita. Kita merasakan kehendak dan
tadbir kita berada di hadapan sementara Kehendak dan Tadbir Allah s.w.t
mengikut di belakang. Anggapan dan perasaan yang demikian boleh membawa
kepada kesesatan dan kederhakaan yang besar kerana kita meletakkan
diri kita pada taraf Tuhan dan Tuhan pula kita letakkan pada taraf hamba
yang menurut telunjuk kita. Bagi menjauhkan diri daripada kesesatan dan
kederhakaan yang besar itu kita perlu sangat memahami soal sunnatullah
atau ketentuan Allah s.w.t. Segala kejadian berlaku menurut ketentuan dan
pentadbiran Allah s.w.t. Tidak ada yang berlaku secara kebetulan. Ilmu
Allah s.w.t meliputi yang awal dan yang akhir, yang azali dan yang abadi.
Apa yang dizahirkan dan apa yang terjadi telah ada pada Ilmu-Nya.
Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Ayat 22 : Surah al-Hadiid)
Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; - ( Ayat 1 : Surah al-Mulk )
Dan Yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaannya); ( Ayat 3 : Surah al-A’laa)
Dan Kami jadikan bumi memancarkan mataair-mataair (di sana sini), lalu bertemulah air (langit dan bumi) itu untuk (melakukan) satu perkara yang telah ditetapkan. ( Ayat 12 : Surah al-Qamar )
Segala perkara, tidak kira apa istilah
yang digunakan, adalah termasuk dalam ketentuan Allah s.w.t. Apa yang kita
istilahkan sebagai perjuangan, ikhtiar, doa, kekeramatan, mukjizat dan
lain-lain semuanya adalah ketentuan Allah s.w.t. Pagar takdir mengelilingi
segala-galanya dan tidak ada sebesar zarah pun yang mampu menembusi benteng
takdir yang maha teguh. Tidak terjadi perjuangan dan ikhtiar melainkan
perjuangan dan ikhtiar tersebut telah ada dalam pagar takdir. Tidak berdoa
orang yang berdoa melainkan halnya berdoa itu adalah takdir untuknya yang
sesuai dengan ketentuan Allah s.w.t untuknya. Perkara yang didoakan juga
tidak lari daripada sempadan ketentuan Allah s.w.t. Tidak berlaku kekeramatan
dan mukjizat melainkan kekeramatan dan mukjizat itu adalah takdir yang
tidak menyimpang daripada pentadbiran Allah s.w.t. Tidak menghirup satu
nafas atau berdenyut satu nadi melainkan ianya adalah takdir yang menzahirkan
urusan Allah s.w.t pada azali.
Kami datang dari
Allah dan kepada Allah kami kembali.
Segala perkara datangnya dari Allah s.w.t
atau Dia yang mengadakan ketentuan tanpa campurtangan sesiapa pun. Segala
perkara kembali kepada-Nya kerana Dialah yang mempastikan hukum ketentuan-Nya
terlaksana tanpa sesiapa pun mampu menyekat urusan-Nya.
Apabila sudah difahami bahawa usaha,
ikhtiar, menyerah diri dan segala-galanya adalah takdir yang menurut ketentuan
Allah s.w.t, maka seseorang itu tidak lagi berasa bingung sama ada mahu
berikhtiar atau menyerah diri. Ikhtiar dan berserah diri sama-sama berada
di dalam pagar takdir. Jika seseorang menyedari makamnya sama ada asbab
atau tajrid maka dia hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya. Ahli
asbab perlu berusaha dengan gigih menurut keadaan hukum sebab-akibat. Apa
juga hasil yang muncul dari usahanya diterimanya dengan senang hati kerana
dia tahu hasil itu juga adalah takdir yang ditadbir oleh Allah s.w.t. Jika
hasilnya baik dia akan bersyukur kerana dia tahu bahawa kebaikan itu datangnya
dari Allah s.w.t. Jika tidak ada ketentuan baik untuknya nescaya tidak
mungkin dia mendapat kebaikan. Jika hasil yang buruk pula sampai kepadanya
dia akan bersabar kerana dia tahu apa yang datang kepadanya itu adalah
menurut ketentuan Allah bukan tunduk kepada usaha dan ikhtiarnya. Walaupun
hasil yang tidak sesuai dengan seleranya datang kepadanya tetapi
usaha baik yang dilakukannya tetap diberi pahala dan keberkatan oleh Allah
s.w.t sekiranya dia bersabar dan rela dengan apa juga takdir yang sampai
kepadanya itu.
Ahli tajrid pula hendaklah reda dengan
suasana kehidupannya dan tetap yakin dengan jaminan Allah s.w.t. Dia tidak
harus merungut jika terjadi kekurangan pada rezekinya atau kesusahan menimpanya.
Suasana kehidupannya adalah takdir yang sesuai dengan apa yang Allah s.w.t
tentukan. Rezeki yang sampai kepadanya adalah juga ketentuan Allah s.w.t.
Jika terjadi kekurangan atau kesusahan maka ia juga masih lagi di dalam
pagar takdir yang ditentukan oleh Allah s.w.t. Begitu juga jika terjadi
keberkatan dan kekeramatan pada dirinya dia harus melihat itu sebagai takdir
yang menjadi bahagiannya.
Persoalan takdir berkait rapat dengan
persoalan hakikat. Hakikat membawa pandangan daripada yang banyak kepada
yang satu. Perhatikan kepada sebiji benih kacang. Setelah ditanam benih
yang kecil itu akan tumbuh dengan sempurna, mengeluarkan beberapa banyak
buah kacang. Buah kacang tersebut dijadikan pula benih untuk menumbuhkan
pokok-pokok kacang yang lain. Begitulah seterusnya sehingga kacang yang
bermula dari satu biji benih menjadi jutaan juta kacang. Kacang yang sejuta
tidak ada bezanya dengan kacang yang pertama. Benih kacang yang pertama
itu bukan sahaja berkemampuan untuk menjadi sebatang pokok kacang, malah
ia mampu mengeluarkan semua generasi kacang sehingga hari kiamat. Ia hanya
boleh mengeluarkan kacang, tidak benda lain.
Kajian akal boleh memperakui bahawa
semua kacang mempunyai zat yang sama, iaitu zat kacang. Zat kacang pada
benih pertama serupa dengan zat kacang pada yang ke satu juta malah ia
adalah zat yang sama atau yang satu. Zat kacang yang satu itulah ‘bergerak’
pada semua kacang, mempastikan yang kacang akan menjadi kacang, tidak menjadi
benda lain. Walaupun diperakui kewujudan zat kacang yang mengawal pertumbuhan
kacang namun, zat kacang itu tidak mungkin ditemui pada mana-mana kacang.
Ia tidak berupa dan tidak mendiami mana-mana kacang, tetapi ia tidak berpisah
dengan mana-mana kacang. Tanpanya tidak mungkin ada kewujudan kacang. Zat
kacang ini dinamakan “Hakikat Kacang”. Ia adalah suasana ketuhanan yang
mentadbir dan mengawal seluruh pertumbuhan kacang dari permulaan hingga
kesudahan, sampai ke hari kiamat. Hakikat Kacang inilah suasana pentadbiran
Allah s.w.t yang Dia telah tentukan untuk semua kejadian kacang. Apa sahaja
yang dikuasai oleh Hakikat Kacang tidak ada pilihan kecuali menjadi kacang.
Suasana pentadbiran Allah s.w.t yang
mentadbir dan mengawal kewujudan keturunan manusia pula dinamakan “Hakikat
Manusia” atau “Hakikat Insan”. Allah s.w.t telah menciptakan manusia yang
pertama, iaitu Adam a.s menurut Hakikat Insan yang ada pada sisi-Nya. Pada
kejadian Adam a.s itu telah disimpankan bakat dan keupayaan untuk melahirkan
semua keturunan manusia sehingga hari kiamat. Manusia akan tetap melahirkan
manusia kerana hakikat yang menguasainya adalah Hakikat Manusia.
Pada Hakikat Manusia itu ada hakikat
yang menguasai satu individu manusia dan hubungkaitnya dengan segala kejadian
alam yang lain. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat Nabi” pasti
menjadi nabi. Seorang manusia yang berhakikatkan “Hakikat Wali” pasti akan
menjadi wali. Suasana pentadbiran Allah s.w.t atau hakikat itu menguasai
roh yang berkaitan dengannya. Roh bekerja mempamerkan segala maklumat yang
ada dengan hakikat yang menguasainya. Kerja roh adalah menjalankan urusan
Allah s.w.t iaitu menyatakan hakikat yang ada pada sisi Allah s.w.t.
Dan katakan:
“ Roh itu dari perkara urusan Tuhanku”. ( Ayat 85 : Surah Al-Israa’
)
Pentadbiran Allah s.w.t menguasai roh dan
mengheret roh kepada mempamerkan ketentuan-Nya yang berada pada azali.
Allah s.w.t telah menentukan hakikat sesuatu sejak azali lagi. Tidak ada
perubahan pada ketentuan Allah s.w.t. Segala sesuatu dikawal oleh hakikat
yang pada sisi Allah s.w.t. Unta tidak boleh meminta menjadi kambing. Beruk
tidak boleh meminta menjadi manusia. Manusia tidak boleh meminta menjadi
malaikat. Segala ketentuan telah diputuskan oleh Allah s.w.t.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar