KERAJINAN
KAMU UNTUK MEMPEROLEHI APA YANG TELAH TERJAMIN UNTUK KAMU DI SAMPING KECUAIAN
KAMU TERHADAP KEWAJIPAN YANG DIAMANATKAN MENUNJUKKAN BUTA MATA HATI.
Hikmat 5 ini merupakan lanjutan kepada
Hikmat yang lalu. Imam Ibnu Athaillah menceritakan kesan daripada hijab
nafsu dan hijab akal yang menutup hati daripada melihat kepada takdir yang
menjadi ketentuan Allah s.w.t. Ada tiga perkara yang dikemukakan untuk
direnungi:
1: Jaminan Allah s.w.t.
2: Kewajipan hamba
3: Mata hati yang mengenal jaminan Allah
s.w.t dan kewajipan hamba.
Penyingkapan rahsia mata hati adalah
penting bagi memahami Kalam Hikmat di atas. Mata hati ialah mata bagi hati
atau boleh juga dikatakan kebolehan mengenal yang dimiliki oleh hati. Kadang-kadang
mata hati ini dipanggil sebagai mata dalam. Istilah ‘mata dalam’ digunakan
bagi membezakan istilah ini dengan mata yang zahir, iaitu yang dimiliki
oleh diri zahir. Diri zahir terbentuk daripada daging, darah, tulang, sumsum,
rambut, kulit dan lain-lain. Diri zahir ini berkebolehan untuk melihat,
mendengar, mencium, merasa dan menyentuh. Diri zahir memperolehi kehidupan
dari perjalanan darah ke seluruh tubuhnya dan aliran nyawa dalam bentuk
wap atau gas yang keluar masuk melalui hidung dan mulut. Jika darahnya
dikeringkan atau dibekukan ataupun jika aliran wap yang keluar masuk itu
disekat maka diri zahir akan mengalami satu keadaan di mana sekalian bahagiannya
terhenti berfungsi dan ia dinamakan mati! Diri zahir ini jika disusun dapatlah
dikatakan bahawa ia terdiri daripada tubuh dan nyawa serta deria-deria
yang dapat mengenal sesuatu yang zahiriah. Pusat kawalannya ialah otak
yang mengawal keberkesanan deria-deria dan juga mencetuskan daya timbang
atau akal fikiran.
Diri batin juga mempunyai susunan
yang sama seperti diri zahir tetapi dalam keadaan ghaib. Ia juga mempunyai
tubuh yang dipanggil kalbu atau hati. Hati yang dimaksudkan bukanlah
seketul daging yang berada di dalam tubuh. Ia merupakan hati rohani atau
hati seni. Ia bukan kejadian alam kasar, sebab itu ia tidak dapat dikesan
oleh pancaindera zahir. Ia termasuk di dalam perkara- perkara ghaib yang
diistilahkan sebagai Latifah Rabbaniah atau hal yang menjadi rahsia ketuhanan.
Apabila di dalam keadaan suci bersih ia dapat mendekati Tuhan. Ia juga
yang menjadi tilikan Tuhan. Hati seni ini juga memiliki nyawa yang dibahasakan
sebagai roh. Roh juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah. Ia
adalah urusan Tuhan dan manusia hanya mempunyai sedikit pengetahuan mengenainya.
Katakan: “Roh itu
dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan melainkan
sedikit sahaja”. ( Ayat 85 : Surah Bani Israil )
Tubuh seni atau hati seni juga
mempunyai sifat yang berkemampuan mencetuskan pemahaman dan pengetahuan.
Ia dipanggil akal yang juga termasuk di dalam golongan Latifah Rabbaniah
yang tidak mampu dihuraikan. Akal jenis ini berguna bagi pengajian tentang
ketuhanan. Tubuh zahir mempunyai deria-deria untuk mengenal perkara zahiriah.
Deria-deria tersebut dipanggil penglihatan, pendengaran, penciuman, perasaan
dan penyentuhan dan alat-alat yang bersangkutan ialah mata, telinga, hidung,
lidah, tangan dan lain-lain. Tubuh seni atau diri batin juga mempunyai
deria yang mengenal perkara ghaib dan deria ini dinamakan basirah atau
mata hati. Ia berbeza daripada sifat melihat yang dimiliki oleh mata zahir.
Mata zahir melihat perkara zahir dan mata hati syuhud atau menyaksikan
kepada yang ghaib.
Apa yang ada di sekeliling kita boleh dilihat
melalui dua aspek iaitu yang nyata dilihat dengan mata zahir dan yang ghaib
dilihat dengan mata hati. Jika kita ambil satu buku gula, mata kasar melihat
sejenis hablur berwarna keputihan. Bila diletakkan pada lidah terasalah
manisnya. Ketika menikmati kemanisan itu kita seolah-olah memandang jauh
kepada sesuatu yang tidak ada di hadapan mata. Kelakuan merenung jauh itu
sebenarnya adalah terjemahan kepada perbuatan mata hati memandang kepada
hakikat gula iaitu manis. Bagaimana rupa manis tidak dapat diceritakan
tetapi mata hati yang melihat kepadanya mengenal bahawa gula adalah manis.
Jika mata zahir melihat sebilah pedang, maka mata hati akan melihat pada
tajamnya. Jika mata zahir melihat kepada lada, mata hati melihat kepada
pedasnya. Jadi, mata zahir mengenal dan membezakan rupa yang zahir sementara
mata hati mengenal dan membezakan hakikat kepada yang zahir. Mata hati
yang hanya berfungsi setakat mengenal manis, tajam, pedas dan yang seumpamanya
masih dianggap sebagai mata hati yang buta. Mata hati hanya dianggap celik
jika ia mampu melihat urusan ketuhanan di sebalik yang nyata dan yang tidak
nyata.
Kekuatan suluhan mata hati bergantung
kepada kekuatan hati itu sendiri. Semakin bersih dan suci hati bertambah
teranglah mata hati. Jika ia cukup terang ia bukan sahaja mampu melihat
kepada yang tersembunyi di sebalik rupa yang zahir di sekeliling kita malah
ia mampu melihat atau syuhud apa yang di luar daripada dunia. Dunia adalah
segala sesuatu yang berada di dalam bulatan langit yang pertama atau langit
dunia atau langit rendah. Langit rendah ini merupakan sempadan dunia. Selepas
langit dunia dinamakan Alam Barzakh. Meninggal dunia membawa maksud roh
yang rumahnya iaitu jasad telah tidak sesuai lagi didiaminya atau dipanggil
sebagai mengalami kematian, dibawa keluar dari langit dunia dan ditempatkan
di dalam Alam Barzakh.
Fungsi mata hati ialah melihat yang
hakiki. Mata hati yang mampu melihat dunia secara keseluruhan sebagai satu
wujud akan mengenali apa yang hakiki tentang dunia itu. Oleh sebab penyaksian
mata hati bersifat tidak dapat dinyatakan secara terang maka ia memerlukan
ibarat untuk mendatangkan kefahaman. Ibarat yang biasa digunakan bagi menceritakan
tentang hakikat dunia ialah: “Dunia adalah seorang perempuan yang sangat
tua dan sangat hodoh. Tubuhnya kotor dan berpenyakit, menanah di sana sini
dan ada bahagiannya yang sudah dimakan ulat ”. Begitulah lebih kurang perasaan
orang yang melihat kepada hakikat dunia dengan mata hatinya. Bagaimana
rupa hakikat yang menyebabkan timbul perasaan dan ibarat yang demikian
tidak dapat dihuraikan.
Mata hati yang lebih kuat mampu pula
menyaksikan Alam Barzakh dan mengenali satu lagi hakikat yang dinamakan
keabadian, iaitu sifat hari akhirat. Kematian membinasakan jasad dan kiamat
membinasakan alam seluruhnya tetapi tidak membinasakan Roh yang padanya
tergantung kitab amalan masing-masing. Ahli maksiat tidak dapat diselamatkan
oleh kematian dan kiamat. Ahli taat yang tidak mendapat ganjaran yang setimpal
di dunia tidak binasa ketaatannya oleh kematian dan kiamat. Tanggungjawab
seseorang hamba akan terus dipikulnya melepasi kematian, Alam Barzakh,
kiamat, Padang Mahsyar dan seterusnya menghadapi Pemerintah hari pembalasan.
Tanggungjawab itu hanya gugur setelah Hakim Yang Maha Bijaksana dan Maha
Adil lagi Maha Mengetahui serta Maha Perkasa menjatuhkan hukuman. Inilah
hakikat yang ditemui oleh mata hati yang menyelami Alam Barzakh, bukan
melihat roh orang mati di dalam kubur.
Mata hati berfungsi mengenal perkara
yang ghaib. Makrifat atau pengenalan kepada keabadian atau hari akhirat
akan melahirkan kesungguhan pada menjalankan amanat Allah s.w.t iaitu mengerjakan
perintah-perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya. Amanat itu akan
terus dibawa oleh para hamba untuk diserahkan kembali kepada Allah s.w.t
yang meletakkan amanat tersebut kepada mereka. Makrifat mata hati yang
demikian melahirkan sifat takwa dan beramal salih. Apabila takwa dan amal
salih menjadi sifat seorang hamba maka masuklah hamba itu ke dalam jaminan
Allah s.w.t.
Dialah Tuhan yang
memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya (untuk
menghidupkan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab
rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (dari
yang demikian) melainkan orang yang sentiasa bertumpu (kepada Allah). (
Ayat 13 : Surah al-Mu’min )
Allah s.w.t berfirman dalam Hadis Qudsi:
Hamba-Ku, taatilah
semua perintah-Ku, jangan membeber keperluan kamu.
Allah s.w.t sebagai Tuhan, Tuan atau Majikan
tidak sekali-kali mengabaikan tanggungjawab-Nya untuk memberi rezeki kepada
hamba-hamba-Nya sementara hamba-hamba pula berkewajipan mentaati Tuan mereka.
Rezeki telah dijamin oleh Allah s.w.t dan untuk mendapatkan rezeki tersebut
seseorang hamba hanya perlu bertindak sesuai dengan makamnya. Jika dia
seorang ahli asbab maka bekerjalah ke arah rezekinya dan jangan iri hati
terhadap rezeki yang dikurniakan kepada orang lain. Jika dia ahli tajrid
maka bertawakallah kepada Allah s.w.t dan jangan gusar jika terjadi kelewatan
atau kekurangan dalam urusan rezeki. Walau dalam makam manapun seseorang
hamba itu berada dia mesti melakukan kewajipan iaitu bersungguh-sungguh
mentaati Allah s.w.t dengan mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.
Hamba yang terbuka mata hatinya akan percaya dengan yakin terhadap jaminan
Allah s.w.t dan tidak mencuaikan kewajipannya. Hamba ini akan melipat-gandakan
kegiatan dan kerajinannya untuk bertakwa dan beramal salih tanpa mencurigai
jaminan Allah s.w.t tentang rezekinya.
Hamba yang buta mata hatinya akan
berbuat yang berlawanan iaitu dia tekun dan rajin di dalam mencari rezeki
yang dijamin oleh Allah s.w.t tetapi dia mencuaikan tanggungjawab yang
diamanatkan oleh Allah s.w.t. Orang ini akan menggunakan daya usaha yang
banyak untuk memperolehi rezeki yang boleh didapati dengan daya usaha yang
sederhana tetapi menggunakan daya usaha yang sedikit dengan harapan untuk
mendapatkan sesuatu yang tidak mungkin didapati kecuali dengan daya usaha
yang gigih dan perjuangan yang hebat iaitu pahala-pahala bagi amal salih.
Mata hati melihat kepada yang hak
dalam keghaiban. Nafsu yang hanya berminat dengan kebendaan yang nyata
menutupi yang hak itu dan akal mengadakan hujah untuk menguatkan keraguan
yang tumbuh pada nafsu. Perkara ghaib disaksikan dengan keyakinan. Jika
nafsu dan akal bersepakat mengadakan keraguan, kebenaran yang ghaib akan
terhijab. Orang yang mencari kebenaran tetapi gagal menundukkan nafsu dan
akalnya akan berpusing-pusing di tempat yang sama. Keyakinan dan keraguan
sentiasa berperang dalam jiwanya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar