JANGAN SAMPAI MERAGUKAN KAMU TERHADAP JANJI ALLAH KERANA TIDAK TERLAKSANA APA YANG TELAH DIJANJIKAN, MESKIPUN TELAH TERTENTU (TIBA) MASANYA, SUPAYA KERAGUAN ITU TIDAK MEROSAKKAN MATA HATI KAMU DAN TIDAK MEMADAMKAN CAHAYA SIR (RAHSIA ATAU BATIN) KAMU.
Doa dan janji Allah s.w.t berkait rapat.
Allah s.w.t menjanjikan untuk menerima semua doa. Hamba sudah sangat kuat
dan kerap berdoa. Hamba mendoakan agar diselamatkan daripada sesuatu musibah.
Masa musibah itu sampai sudah tiba tetapi keselamatan daripadanya tidak
tiba. Timbul keraguan dalam hati hamba itu tentang janji-janji Allah s.w.t.
Sebahagian orang beriman diuji dengan penerimaan
atau penolakan doa dan sebahagian yang lain diuji dengan tertunai atau
tertahan janji Allah s.w.t. Janji Allah s.w.t ada dalam bentuk umum dan
ada dalam bentuk khusus. Janji umum banyak terdapat di dalam al-Quran seperti
janji syurga terhadap orang yang berbuat kebajikan, janji neraka terhadap
orang yang derhaka, janji ketinggian darjat bagi orang yang berjihad pada
jalan Allah s.w.t, janji kekuasaan di atas muka bumi terhadap orang yang
beriman dan beramal salih dan lain-lain lagi. Di dalam surah an-Nisaa’
ayat 95 Allah s.w.t menjanjikan ganjaran yang besar kepada orang
yang berjihad pada jalan-Nya. Dalam surah an-Nur ayat 55 Allah s.w.t menjanjikan
kepada orang yang beriman dan beramal salih bahawa mereka akan dijadikan
khalifah di bumi, Dia akan teguhkan agama mereka dan Dia akan hilangkan
ketakutan mereka.
Banyak lagi janji Allah s.w.t yang
boleh ditemui di dalam al-Quran. Janji-janji Allah s.w.t secara umumnya
berkaitan dengan amal, sesuai dengan sunnatullah yang menguasai perjalanan
kehidupan. Ada juga janji secara khusus kepada orang-orang tertentu, misalnya
melalui mimpi atau suara ghaib. Orang yang beriman dengan Allah s.w.t percaya
kepada janji-janji-Nya. Janji Allah s.w.t menjadi pendorong kepada mereka
untuk bekerja kuat, beramal salih dan berjihad pada jalan-Nya. Allah s.w.t
tidak sekali-kali akan memungkiri janji-janji-Nya. Di dalam golongan yang
percaya kepada janji-janji Allah s.w.t itu ada sebilangan yang berpenyakit
seperti yang dihidapi oleh sebilangan orang yang berdoa kepada Allah s.w.t.
Orang yang berdoa membuat tuntutan dengan doanya dan orang yang percaya
kepada janji Allah s.w.t membuat tuntutan dengan amalnya, kerana Allah
s.w.t berjanji memberinya sesuatu menurut amalannya.
Hikmat ketujuh mengaitkan janji Allah
s.w.t dengan mata hati dan Nur Sir (Rahsia atau batin). Persoalan
mata hati telah disentuh pada Hikmat ke lima. Penyingkapan rahsia mata
hati menemukan kita dengan persoalan diri zahir, diri batin dan seterusnya
kepada persoalan roh. Suluhan mata hati membawa kepada pengenalan terhadap
Alam Barzakh dan keabadian. Mata hati yang kuat tidak berhenti setakat
Alam Barzakh, malah ia menghala kepada peringkat alam yang lebih tinggi
yang dinamakan Alam Malakut Atas. Pandangan mata hati seterusnya sampai
kepada kulit alam yang dinamakan Arasy Yang Meliputi. Semua makhluk Allah
s.w.t menghuni ruang yang di dalam atau dibatasi oleh kulit atau kerangka
alam, iaitu Arasy. Tidak ada mahluk yang wujud di luar dari kulit alam.
Walaupun kulit alam merupakan kejadian Tuhan yang paling luar namun, mata
hati tidak berhenti setakat itu. Mata hati terus meneroka ‘di luar’ dari
kulit alam, yang dipanggil Wujud ketuhanan. Di sini timbul persoalan berat
dan rumit untuk dihuraikan. Semua kejadian berada di dalam kulit alam.
Kulit alam adalah yang terakhir. Apabila sampai kepada kulit alam tidak
boleh lagi dikatakan wujud alam ketuhanan di luar, selepas, di sebalik
dan istilah-istilah lain, kerana tidak ada apa-apa lagi. Kewujudan ketuhanan
bukanlah satu jenis alam lain. Tidak boleh dikatakan wujud alam ketuhanan
selepas alam kita ini. Allah s.w.t Berdiri Dengan Sendiri, tidak menempati
ruang. Jika demikian persoalannya bagaimanakah yang dikatakan ketuhanan
sedangkan kita sudah menjelajah ke seluruh alam maya namun, Allah s.w.t
tidak juga ditemui?
Antara alam yang sementara dengan
alam abadi terdapat Alam Barzakh. Barzakh adalah sempadan. Barzakh itulah
yang menghubungkan dua keadaan yang berbeza. Misalnya, barzakh bagi laut
dan sungai ialah kuala. Air laut adalah masin dan air sungai adalah tawar.
Air pada barzakh keduanya iaitu kuala adalah sebatian masin dengan tawar
yang dinamakan payau. Payau bukan masin dan bukan lain daripada masin.
Payau juga bukan tawar dan bukan lain daripada tawar. Kuala bukan laut
dan bukan sungai dan bukan juga lain daripada laut dan sungai. Jika mahu
lihat laut dan sungai dengan sekali pandang atau sebagai satu kewujudan
maka lihatlah kepada kuala. Jika mahu merasai masin dan tawar sekaligus
maka rasailah air payau.
Jika terdapat barzakh di antara makhluk
dengan makhluk, terdapat juga barzakh di antara Tuhan dengan makhluk. Barzakh
inilah yang menjadi penghubung di antara Tuhan dengan hamba. Tanpa barzakh
ini tidak mungkin berlaku kewujudan makhluk yang diciptakan Tuhan kerana
tidak ada talian atau jambatan yang menghubung. Barzakh di antara Allah
s.w.t dengan hamba itu dinamakan Sir atau Rahsia, iaitu Rahsia Allah s.w.t,
yang hanya Allah s.w.t yang mengetahui hakikatnya yang sebenar. Rahsia
inilah yang memungkinkan ada hubungan di antara Pencipta dengan yang di
cipta. Sir atau Rahsia itu memancarkan nurnya kepada mata hati. Mata hati
yang bersuluhkan Nur Sir (rahsia ketuhanan) akan mendapat pengenalan
tentang Sir dan mengalami suasana tauhid peringkat yang tertinggi.
Apabila hakikat Sir ditemui nyatalah firman Allah s.w.t:
Dan Kami adalah lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, - ( Ayat 16 : Surah Qaaf )
Dan Ia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!”( Ayat 96 : Surah as-Saaffaat )
Dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatu pun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam. ( Ayat 29 : Surah at-Takwiir)
Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.
Apa yang ada pada kita semuanya adalah
kurniaan dari Allah s.w.t. Kemahuan kita untuk melakukan amal salih datangnya
dari
Iradat Allah s.w.t, tanpa Iradat Allah s.w.t kita akan menjadi dungu, tidak
berkemahuan. Apabila kita melakukan amal kebaikan, kita tidak terlepas
daripada menggunakan daya dan upaya yang datangnya dari Allah s.w.t. Tanpa
Kudrat Allah s.w.t kita tidak mampu bergerak. Kebolehan kita untuk berdoa
dan beramal adalah kurniaan daripada Allah s.w.t.
Mereka mengira dirinya berbudi kepadamu (wahai Muhammad) dengan sebab mereka telah Islam (tidak melawan dan tidak menentang). Katakanlah (kepada mereka): “Jangan kamu mengira keislaman kamu itu sebagai budi kepadaku, bahkan (kalaulah sah dakwaan kamu itu sekalipun maka) Allah jualah yang berhak membangkit-bangkitkan budi-Nya kepada kamu, kerana Dialah yang memimpin kamu kepada iman (yang dakwakan itu), kalau betul kamu orang-orang yang benar (pengakuan imannya). ( Ayat 17 : Surah al-Hujuraat )
Kehendak dan perbuatan kita
adalah anugerah daripada Allah s.w.t. Jadi, apakah hak kita untuk menuntut
Allah s.w.t dengan doa dan amal kita. Memang benar Allah s.w.t berjanji
untuk mengabulkan semua doa dan mengurniakan sesuatu menurut amalan. Tetapi,
tidak ada makhluk-Nya yang layak menagih janji tersebut. Janji Allah s.w.t
kembali kepada diri-Nya Sendiri. Jangan cuba-cuba menuntut janji Allah
s.w.t kerana andainya Dia menuntut kamu dengan amanah yang dipertaruhkan
kepada kamu nescaya semua amalan kamu akan hancur berterbangan seperti
debu, tidak ada walau sebesar zarah pun yang layak dipersembahkan kepada-Nya
apabila kamu dihadapkan kepada keadilan-Nya.
Lantaran itu berteduhlah di bawah
payung rahmat dan keampunan-Nya, jangan diungkit-ungkit tentang amal kamu
dan janji-Nya. Contohilah akhlak Rasulullah s.a.w yang telah menerima janji
Allah s.w.t iaitu baginda s.a.w telah bermimpi memasuki kota Makkah. Kaum
muslimin percaya bahawa mimpi Rasulullah s.a.w adalah mimpi yang benar
dan mereka yakin bahawa itu adalah janji Allah s.w.t kepada Rasul-Nya,
yang Dia mengizinkan mereka bersama-sama memasuki kota Makkah sekalipun
musyrikin Quraisy masih menguasai kota tersebut. Kaum muslimin berangkat
dari Madinah ke Makkah. Rombongan mereka dihadang sebelum sampai di Makkah.
Kaum musyrikin enggan membenarkan kaum muslimin memasuki Makkah. Ekoran
dari peristiwa itu termetrailah Perjanjian Hudaibiah. Rasulullah s.a.w
bersetuju agar kaum muslimin tidak memasuki Makkah pada tahun itu. Saidina
Umar al-Khattab r.a yakin akan mimpi Rasulullah s.a.w. Beliau r.a juga
percaya bahawa mimpi Rasulullah s.a.w itu adalah janji Allah s.w.t mengizinkan
mereka memasuki kota Makkah. Beliau r.a juga yakin bahawa lantaran janji
Allah s.w.t adalah benar maka bertegas memasuki Makkah walaupun dengan
cara berperang adalah tindakan yang benar. Beliau r.a menganjurkan agar
berperang supaya kebenaran mimpi Rasulullah s.a.w dan kebenaran janji Allah
s.w.t menjadi kenyataan. Iman Umar r.a yang sangat mendalam membuatnya
mahu maju terus menurut petunjuk yang sampai kepada beliau r.a. tanpa menoleh
ke kanan atau ke kiri. Saidina Abu Bakar as-Siddik yang Nur Sirnya lebih
sempurna daripada Nur Sir Umar r.a bersikap menyetujui tindakan Rasulullah
s.a.w memetrai Perjanjian Hudaibiah. Melalui suluhan Nur Sirnya Abu Bakar
r.a dapat menyaksikan apa yang terlindung dari pandangan mata hati Umar
r.a.
Kemudian ternyata perjanjian tersebut
banyak memberi manfaat kepada kaum muslimin. Ternyata kebijaksanaan Rasulullah
s.a.w memetrai Perjanjian Hudaibiah dan kebenaran pandangan mata hati Abu
Bakar r.a melalui pancaran Nur Sirnya. Sesuai dengan Perjanjian Hudaibiah,
pada tahun berikutnya kaum muslimin dapat memasuki kota suci Makkah
secara aman. Benarlah apa yang dimimpikan oleh Rasulullah s.a.w dan benarlah
janji Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w menerima janji Allah s.w.t sebagai
satu kurniaan yang wajib diyakini dengan cara bertawakal kepada Allah s.w.t
dalam pelaksanaannya. Bila terjadi sesuatu yang pada zahirnya menghalang
pelaksanaan janji Allah s.w.t itu Rasulullah s.a.w tidak menagih Allah
s.w.t dengan janji tersebut, sebaliknya baginda s.a.w mengembalikannya
kepada Allah s.w.t. Sebagai balasan terhadap kerelaan menerima takdir Allah
s.w.t maka Allah s.w.t kurniakan pula Perjanjian Hudaibiah yang banyak
membantu perkembangan dakwah Islam. Allah s.w.t juga tidak sekali-kali
melupakan janji-Nya mengizinkan kaum muslimin menziarahi tanah suci Makkah,
dengan rahmat-Nya kaum muslimin memasuki kota Makkah pada tahun berikutnya
dalam suasana aman. Jadi, apabila janji Allah s.w.t dikembalikan
kepada Allah s.w.t maka Allah s.w.t melaksanakannya.
Peristiwa di atas memberi pengajaran kepada
kita tentang Sir. Saidina Abu Bakar as-Siddik r.a melebihi sahabat-sahabat
yang lain lantaran Sirnya, iaitu Rahsia pada hati nuraninya yang menghubungkannya
dengan Allah s.w.t. Sir yang menguasainya itulah yang menjadikannya as-Siddik.
Beliau r.a dapat membenarkan kebenaran Nabi Muhammad s.a.w tanpa usul.
Beliau r.a membenarkan peristiwa Israk dan Mikraj ketika kebanyakan kaum
Quraisy menafikannya. Abu Bakar r.a bukanlah seorang dungu yang bertaklid
secara membuta tuli. Tetapi, apa yang sampai kepadanya diakui oleh Sirnya
yang memperolehi pengesahan daripada Allah s.w.t. Cahaya kebenaran yang
keluar daripada Rasulullah s.a.w dan cahaya kebenaran yang keluar dari
Sir Abu Bakar r.a adalah sama, sebab itulah Abu Bakar r.a membenarkannya
tanpa usul dan tanpa meminta bukti. Bukti apa lagi yang diperlukan apabila
Sir telah mendapat jawapan daripada Allah s.w.t. Sir atau Rahsia Allah
s.w.t itulah yang tidak bercerai tanggal daripada Allah s.w.t, sentiasa
menghadap kepada Allah s.w.t dan mendengar Kalam Allah s.w.t. Sir itulah
yang mengenal Allah s.w.t
Kemurnian Sir Abu Bakar as-Siddik r.a ternyata
lagi ketika kewafatan Rasulullah s.a.w. Umar r.a yang dikuasai oleh iman
yang sangat kuat yang melahirkan cinta yang mendalam terhadap Rasulullah
s.a.w, Kekasih Allah s.w.t, dikuasai kecintaan itu, beliau r.a mahu memancung
kepala sesiapa sahaja yang mengatakan Rasulullah s.a.w sudah wafat. Tetapi,
Abu Bakar r.a, yang kecintaannya terhadap Rasulullah s.a.w mengatasi kecintaan
Umar r.a mampu mengatakan, “Sesiapa yang menyembah Muhammad maka sesungguhnya
Muhammad sudah wafat. Sesiapa yang menyembah Allah s.w.t maka Allah s.w.t
tidak akan wafat selama-lamanya!” Begitulah murninya cahaya atau nur
yang diterima oleh Abu Bakar r.a di dalam hatinya yang dipancarkan oleh
Sir. Tidak salah jika dikatakan sekiranya mahu memahami hakikat Sir maka
fahamilah diri Saidina Abu Bakar as- Siddik r.a. Mengenali beliau r.a membuat
seseorang mengenali tanda-tanda Sir.
Kalam Hikmat ketujuh ini memberi panduan
untuk memahami hakikat Sir. Tanda seseorang tidak mendapat sinaran Nur
Sir ialah dia meragui janji-janji Allah s.w.t lantaran dia mentakrif maksud
janji Allah s.w.t menurut seleranya sendiri. Bagaimana kedudukan kita terhadap
janji Allah s.w.t begitulah keadaan hati kita berhubung dengan Rahsia
Allah s.w.t atau Sir.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar