MENUNDA AMAL KEBAIKAN KERANA MENANTIKAN KESEMPATAN YANG LEBIH BAIK ADALAH TANDA KEBODOHAN.
Hikmat yang lalu memaparkan kebodohan yang
timbul kerana kejahilan tentang kekuasaan Tuhan. Hikmat 26 ini pula memaparkan
kebodohan yang timbul lantaran kelalaian. Orang yang mabuk dibuai oleh
ombak kelalaian tidak dapat melihat bahawa pada setiap detik pintu rahmat
Allah s.w.t sentiasa terbuka dan Allah s.w.t sentiasa berhadap kepada hamba-hamba-Nya.
Setiap saat adalah kesempatan dan tidak ada kesempatan yang lebih baik
daripada kesempatan yang memperlihatkan dirinya kepada kita. Kesempatan
yang paling baik ialah kesempatan yang kita sedang berada di dalamnya.
Kelalaian adalah buah kepada panjang
angan-angan. Panjang angan-angan pula datangnya dari pokok kurang ingatan
kepada mati. Jadi, ubat yang paling mujarab untuk mengubati penyakit kelalaian
ialah memperbanyakkan ingatan kepada mati. Apabila ingatan kepada mati
sudah kuat maka seseorang itu tidak akan mengabaikan kesempatan yang ada
baginya untuk melakukan amal salih.
Hikmat ke 26 jika ditafsir secara
umum menganjurkan agar segala amal kebaikan hendaklah dilakukan dengan
segera tanpa bertangguh-tangguh. Jika diperhatikan Kalam-kalam Hikmat
yang lalu dapat difahamkan bahawa Hikmat yang dipaparkan berperanan membimbing
seseorang pada jalan kerohanian. Amal yang ditekankan adalah amal yang
berhubung dengan pembentukan rohani. Hikmat 27 nanti akan memperkatakan
tentang makam iaitu suasana kerohanian. Jadi, jika ditafsir secara khusus
Hikmat 26 ini menganjurkan bersegera melakukan amal-amal yang perlu
bagi menyediakan hati untuk menerima kedatangan hal-hal dan seterusnya
mencapai makam-makam. Amal yang berkenaan ialah latihan kerohanian menurut
tarekat tasauf. Latihan yang demikian harus disegerakan sebaik sahaja mendapat
kesempatan, tanpa menanti kedatangan kesempatan yang lain yang diharapkan
lebih baik dan lebih sesuai.
Ketika menjalani latihan kerohanian
secara tarekat tasauf kehidupan hanya dipenuhi dengan amal ibadat
seperti sembahyang, puasa, berzikir dan lain-lain Semua amalan tersebut
dilakukan bukan bertujuan untuk mengejar syurga tetapi semata-mata untuk
mendapatkan keredaan Allah s.w.t dan mendekatkan diri kepada-Nya. Amalan
seperti inilah yang membuka pintu hati untuk berpeluang mengalami hal-hal
yang membawa kepada hasil yang diharapkan iaitu makrifatullah. Sesiapa
yang benar-benar ingin mencari keredaan Allah s.w.t dan berhasrat untuk
menghampiri-Nya serta mengenali-Nya hendaklah jangan bertangguh-tangguh
lagi. Usah dicari kesempatan yang lebih baik. Jangan menjadikan masalah
keduniaan sebagai alasan untuk menunda tindakan bergiat mencari keredaan
Allah s.w.t. Bulatkan tekad, kuatkan azam, masuklah ke dalam golongan ahli
Allah s.w.t yang beramal dan bekerja semata-mata kerana Allah s.w.t. Benamkan
diri sepenuhnya ke dalam suasana ‘Allah’ semata-mata dan tinggalkan apa
sahaja yang selain Allah s.w.t buat seketika. Anggapkan latihan yang demikian
seperti keadaan ketika menunaikan fardu haji di Tanah Suci. Selama di Tanah
Suci, segala-galanya ditinggalkan di tanah air sendiri. Di hadapan Baitullah
seorang hamba menghadap dengan sepenuh jiwa raga kepada Tuhannya. Dia tidak
khuatirkan keluarga, harta dan pekerjaan yang ditinggalkan kerana semuanya
sudah diserahkannya kepada penjagaan Allah s.w.t. Allah s.w.t adalah
Pemegang amanah yang paling baik. Dia menjaga dengan sebaik-baiknya apa
yang diserahkan kepada-Nya. Syarat penyerahan itu adalah keyakinan.
Perlu juga dinyatakan bahawa latihan
kerohanian secara tarekat tasauf bukanlah satu-satunya
jalan kepada Allah s.w.t. Tujuan utama latihan secara tasauf adalah
untuk mendapatkan ikhlas dan penyerahan yang menyeluruh kepada Allah s.w.t.
Ikhlas dan penyerahan boleh juga diperolehi walaupun tidak menjalani tarekat
tasauf tetapi tanpa latihan khusus pembentukan hati kepada suasana
yang demikian adalah sukar dilakukan.
Jalan yang tidak ada latihan khusus
adalah jalan kehidupan harian. Pada jalan ini orang yang beriman perlu
bekerja kuat untuk menjalankan peraturan Islam dan mempertahankan iman.
Pancaroba dalam kehidupan harian sangat banyak dan orang yang beriman perlu
berjalan dicelah-celahnya, menjaga diri agar tidak tertawan dengan penggoda.
Kewaspadaan dalam kehidupan harian itu adalah sifat takwa. Orang yang bertakwa
adalah orang yang mulia pada sisi Allah s.w.t.
Walau jalan mana yang dilalui matlamatnya
adalah memperolehi ikhlas, berserah diri dan bertakwa.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar