DILAPANGKAN
KAMU (DIBERI KEGEMBIRAAN) SUPAYA KAMU TIDAK DITINGGALKAN DALAM KETAKUTAN.
DIBERIKAN RASA TAKUT DAN GERUN SUPAYA KAMU TIDAK DITINGGALKAN DALAM KESUKAAN.
DIBEBASKAN KAMU DARI KEDUA-DUANYA SUPAYA KAMU TIDAK DITARIK OLEH SESUATU
SELAIN DIA (ALLAH S.W.T).
ORANG ARIF, APABILA DIBERIKAN NIKMAT KELAPANGAN ATAU KEGEMBIRAAN AKAN LEBIH BERASA TAKUT DARIPADA APABILA DIBERI NIKMAT YANG MERUPAKAN KESEMPITAN DAN KETAKUTAN, KERANA TIDAK DAPAT TEGAK DI ATAS BATAS-BATAS KESOPANAN DALAM KEADAAN KESENANGAN KECUALI SEDIKIT.
KELAPANGAN DAN RIA HATI MEMPUNYAI RUANG UNTUK NAFSU MENGAMBIL KESEMPATAN DARIPADA KEGEMBIRAAN ITU DAN PADA TAKUT DAN GERUN TIDAK ADA KESEMPATAN UNTUK NAFSU MENCELAH.
Qabadh adalah perasaan yang timbul dalam
hati apabila hati berhadapan dengan sifat keagungan Allah s.w.t. Hati dapat
merasai keperkasaan-Nya. Bila hati melihat keperkasaan Allah s.w.t dan
mengakui kelemahan dirinya, maka lahirlah perasan takut, gerun, kecut dan
berbagai-bagai perasaan yang seumpamanya sehingga seolah-olah berkecai
sekalian tulang belulangnya, luruh segala dagingnya dan dia merasai kelemahan
yang amat sangat di samping Yang Maha Perkasa, Maha Agung dan Maha Keras.
Basath pula adalah perasaan yang timbul apabila hati berhadapan dengan
sifat keindahan Allah s.w.t. Hati melihat Allah s.w.t Yang Maha Indah,
Maha Lemah-lembut, Maha Pemurah, Maha Pengampun dan seumpamanya, lalu terasalah
pada hati akan kelazatan, kenikmatan, kesenangan, keselesaan, kesejahteraan
dan seumpamanya yang tidak terperi.
Orang yang menerima nikmat dalam
bentuk qabadh akan menjadi tidak bermaya, seakan-akan lumpuh. Apa yang
dialami oleh hati berbekas pada anggota zahir. Tubuh badan turut merasakan
qabadh. Jika seseorang dikuasai oleh qabadh dalam tempuh yang lama, mungkin
tubuhnya tidak dapat bertahan dan dia mungkin akan mati lantaran takutkan
Allah s.w.t. Allah s.w.t mendatangkan qabadh sebagai memperkenalkan keperkasaan-Nya
bukan untuk membinasakan hamba-Nya. Oleh sebab itu Dia tidak membiarkan
hamba-Nya binasa dalam qabadh, maka didatangkan-Nya pula basath, iaitu
kegembiraan yang amat sangat. Hati yang dipenuhi oleh basath akan merasai
keriangan yang tidak terucapkan dan dia menjadi seumpama orang yang mabuk
dalam kelazatan
Pengalaman qabadh membuat seseorang
mengetahui betapa hebatnya tuntutan Allah s.w.t jika ditegakkan keadilan
dan keperkasaan-Nya. Tidak ada dosa yang terlepas daripada perkiraan dan
hukuman-Nya. Pengalaman basath pula memperlihatkan kemurahan Allah s.w.t.
Walaupun hamba-Nya menghadap-Nya dengan membawa dosa sebanyak buih di lautan
namun, Dia bersedia mengampunkannya. Pengalaman yang berganti-ganti antara
qabadh dan basath menambahkan makrifat seseorang.
Qabadh dan basath adalah dua hal yang bertentangan.
Apabila seseorang hamba dimasukkan ke dalam darjat pilihan, mata hatinya
tidak lagi melihat kepada pertentangan tersebut, sebaliknya terus tertuju
kepada Allah s.w.t yang menjadikan pertentangan sebagai bukti kebijaksanaan-Nya.
Pertentangan hanya wujud jika dilihat secara berasingan, seperti melihat
tangan kanan dengan tangan kiri. Jika kedua-duanya dilihat sebagai kesatuan,
iaitu tangan kanan dan tangan kiri itu dibawa bertemu, maka kedua-duanya
itu bertemu dengan sempurna, tiada lagi perlawanan. Makam melihat Allah
s.w.t dalam dua perkara yang bertentangan dengan sekali pandang adalah
makam arifbillah. Pandangannya tidak terlepas daripada menyaksikan Allah
s.w.t. Allah s.w.t dilihat pada orang yang kena bunuh dan orang yang membunuh
dengan sekali pandang. Tidak terhijab pandangannya oleh hukum sebab musabab.
Inilah makam hamba pilihan yang disemayamkan di Hadrat-Nya. Tidak ada sesuatu
selain-Nya yang dapat menarik keluar hamba ini dari Hadrat-Nya.
Orang arifbillah yang mengekalkan ubudiyahnya
terhadap Allah s.w.t melihat qabadh dan basath sebagai ujian dari Allah
s.w.t. Di antara dua hal tersebut, mereka lebih khuatir jika dikenakan
ujian basath. Hati yang leka dengan kesenangan dan keselesaan mudah tergelincir
dari memelihara adab sopan ubudiyah. Di dalam hal yang semacam ini, nafsu
mudah mengambil kesempatan di atas kemurahan Allah s.w.t. Suasana qabadh
pula dapat mengukuhkan ubudiyah dan nafsu tidak berpeluang mencuri masuk.
Qabadh menambahkan harapan dan pergantungan kepada Allah s.w.t.