ADAKALANYA
KAMU MENERIMA PEMBERIAN YANG PADA HAKIKATNYA ADALAH PENOLAKAN DAN ADA KALANYA
KAMU DITOLAK TETAPI PADA HAKIKATNYA KAMU DIBERI.
JIKA DIBUKA KEPADA KAMU PINTU KEFAHAMAN TENTANG PENOLAKAN NESCAYA BERUBAH PENOLAKAN MENJADI PEMBERIAN.
Sesuatu yang kuat menghalang perjalanan
kerohanian seseorang murid adalah kehendak diri sendiri. Dia berkehendakkan
sesuatu yang menurut hematnya akan membawa kebaikan kepada dirinya. Kehendak
atau hajat keperluannya itu mungkin menyentuh tentang dunia, akhirat atau
hubungan dengan Allah s.w.t. Jika hajatnya tercapai dia merasakan yang
dia menerima kurniaan Allah s.w.t. Jika hajatnya tidak diperkenankan dia
akan merasakan dia menerima penolakan Allah s.w.t dan dijauhkan. Orang
yang berada pada peringkat ini selalu mengaitkan makbul permintaan atau
doa dengan kemuliaan di sisi Allah s.w.t. Jika Allah s.w.t mengabulkan
permintaannya dia merasakan itu adalah tanda dia hampir dengan-Nya. Jika
permintaannya ditolak dia merasakan itu tandanya dia dijauhkan. Anggapan
begini sebenarnya tidak tepat. Tidak semua penerimaan doa menunjukkan pendekatan
dan tidak semua penolakan menunjukkan dijauhkan. Bagi orang yang masih
dalam perjalanan dia tidak seharusnya membesarkan hajat keperluannya. Dia
perlu menghancurkan nafsu dan keinginan dirinya supaya dia dapat masuk
ke dalam suasana berserah diri kepada Allah s.w.t. Kehendak dan hajat menghalangnya
dari berserah diri kepada Allah s.w.t. Pemberian yang sesuai dengan hajat
dan permintaannya menambahkan kekuatan halangan tersebut. Keadaan ini menambahkan
lagi hijab antaranya dengan Allah s.w.t. Dalam segi ini, pemberian yang
diterimanya walaupun mempunyai manfaat tetapi sebenarnya merupakan kerugian
kerana tertutup jalan menuju Allah s.w.t. Jadi, pemberian itu merupakan
penolakan yang tidak disedarinya.
Orang yang hajatnya ditolak akan
mengalami keadaan yang berbeza daripada orang yang hajatnya dimakbulkan.
Orang yang mempunyai keinginan terhadap sesuatu mempunyai hubungan hati
dengan apa yang diingini itu. Hatinya cenderung atau kasih kepadanya. Jika
keinginannya sangat kuat dan tidak dapat dikawalnya, dia akan sanggup berkorban
apa sahaja untuk mendapatkan apa yang diingininya itu. Jika dia bermohon
kepada Tuhan maka dia akan meminta dengan bersungguh-sungguh. Harapannya
bulat tertuju kepada Allah s.w.t. Sekiranya dia mampu tentu dipaksanya
Allah s.w.t agar memberi apa yang dia hajati itu. Apa akan terjadi sekiranya
Allah s.w.t menolak permintaannya dan membiarkan harapannya itu musnah?
Dia akan menghadapi perpisahan dengan apa yang dia ingini itu. Pada mulanya
dia akan merasakan beban yang sangat berat menghimpit jiwanya, tetapi kemudiannya
dia mendapat tenaga untuk bertahan. Dia dapat bersabar menghadapi penolakan
tersebut. Akhirnya dia berputus asa terhadap apa yang pernah diingininya.
Dia menjadi reda dengan penolakan yang diterimanya. Bila dia reda dengan
lakuan Allah s.w.t, dia akan dibawa kepada keredaan Allah s.w.t. Semua
orang mahukan keredaan Allah s.w.t, tetapi sedikit sekali yang reda dengan
Allah s.w.t. Bagaimana kita boleh memperolehi keredaan-Nya jika kita tidak
reda dengan lakuan-Nya? Hamba yang menerima penolakan Allah s.w.t, kemudian
dibawa kepada reda dengan lakuan-Nya, dibayar dengan keredaan-Nya. Bukankah
ini jauh lebih baik dari apa yang dia inginkan dahulu? Jadi, penolakan
yang pada mulanya dirasakan pahit sebenarnya merupakan kurniaan yang sangat
besar.
Seseorang yang telah mencapai darjat
yang tinggi dalam bidang kerohanian akan selalu ditolak permintaannya,
sehingga dia benar-benar memperolehi keteguhan. Penolakan itu adalah sebagai
mendidik rohaninya agar terus tegak dalam ubudiyah yang kuat, tidak menjadi
terlalu yakin dengan diri sendiri yang boleh menyebabkan kurang pergantungan
kepada Allah s.w.t. Penolakan membuatnya mengerti betapa lemahnya dirinya
dan betapa dia berhajat kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t memperkenalkan
bahawa Dia yang terkaya dari sekalian makhluk dan sekalian makhluk tidak
lepas dari bergantung kepada-Nya.
Hamba yang dibuka pintu pemahaman tentang
penolakan tidak berasa cemas atau curiga menghadapi penolakan tersebut.
Sebaliknya dia akan terus berserah diri kepada Allah s.w.t dan membuang
tuntutan memilih. Dia tahu bahawa keinginan yang datang ke dalam hatinya
adalah ujian Allah s.w.t. Jika Allah s.w.t tidak memenuhi hajatnya, dia
tahu Allah s.w.t menambahkan beban ujian tersebut. Allah s.w.t yang mendatangkan
ujian maka Dia jua yang mendatangkan kesabaran kepada hamba-Nya untuk menanggung
beban ujian tersebut. Allah s.w.t yang menolak permintaan hamba-Nya Dia
juga yang menjadikan si hamba itu reda dengan penolakan tersebut. Penolakan
mendatangkan dua nikmat kepada seseorang hamba iaitu nikmat sabar dan reda.
Kedua-dua nikmat ini jauh lebih berharga dan berguna dari apa yang diingini
oleh hatinya. Sabar dan reda menjadi pintu kepada berbagai-bagai nikmat
yang lain yang besar-besar, sehingga si hamba tidak terkilan langsung lantaran
menerima penolakan pada mulanya.