SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR) ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU PADANYA KESALAHAN.
Imam Ibnu Athaillah memulakan Kalam Hikmat
beliau dengan mengajak kita merenung kepada hakikat amal. Amal boleh dibahagikan
kepada dua jenis iaitu perbuatan zahir dan perbuatan hati atau suasana
hati berhubung dengan perbuatan zahir itu. Beberapa orang boleh melakukan
perbuatan zahir yang serupa tetapi suasana hati berhubung dengan perbuatan
zahir itu tidak serupa. Kesan amalan zahir kepada hati berbeza antara seorang
dengan seorang yang lain. Jika amalan zahir itu mempengaruhi suasana hati,
maka hati itu dikatakan bersandar kepada amalan zahir. Jika hati dipengaruhi
juga oleh amalan hati, maka hati itu dikatakan bersandar juga kepada amal,
sekalipun ianya amalan batin. Hati yang bebas daripada bersandar kepada
amal sama ada amal zahir atau amal batin adalah hati yang menghadap kepada
Allah s.w.t dan meletakkan pergantungan kepada-Nya tanpa membawa sebarang
amal, zahir atau batin, serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t tanpa
sebarang takwil atau tuntutan. Hati yang demikian tidak menjadikan amalnya,
zahir dan batin, walau berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk tawar
menawar dengan Tuhan bagi mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi perantaraan
di antaranya dengan Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak membataskan
kekuasaan dan kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan manusia. Allah
s.w.t Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut kehendak-Nya
tanpa dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa sahaja yang mengenai Allah
s.w.t adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh kerana itu
orang arif tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan
Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan
makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan makhluk
di belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan perbuatan
seseorang atau sesuatu.Sebelum menjadi seorang yang arif, hati manusia
memang berhubung rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun
yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka
yang mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada amalan
batin adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia tersebut
berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa yang mereka akan perolehi
baik di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan yang demikian kadang-kadang
membuat manusia hilang atau kurang pergantungan dengan Tuhan. Pergantungan
mereka hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika mereka bergantung
kepada Allah s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan keraguan. Seseorang
manusia boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau lemah pergantungannya
kepada Allah s.w.t. Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah
memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok
ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat
kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t itu tandanya
pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah. Firman-Nya:
“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )
Ayat di atas menceritakan bahawa orang
yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan pergantungan kepada-Nya walau
dalam keadaan bagaimana sekali pun. Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat
hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa
yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang
diharapkan. Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna
tidak menerima pemberian Allah s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan
bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan
memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah
s.w.t. Apa juga yang Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti
terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan
terhadap yang demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian
hidup, tidak sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka
sandarkan segala perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan
yang mereka lakukan tidak akan menjadi sia-sia.
Orang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t
berada dalam situasi yang berbeza. Pergantungan mereka hanya tertuju kepada
amalan mereka, yang terkandung di dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka
mengadakan sesuatu usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang mereka
ada, mereka mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika ilmu dan
usaha (termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil, mereka
tidak mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus
asa. Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur
perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.
Jika orang kafir tidak bersandar kepada
Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di kalangan sebahagian orang Islam
juga ada yang demikian, bergantung setakat mana sifatnya menyerupai sifat
orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan amalan kerana kepentingan
diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini mungkin mengharapkan
dengan amalannya itu dia dapat mengecapi kemakmuran hidup di dunia.Dia
mengharapkan semoga amal kebajikan yang dilakukannya dapat mengeluarkan
hasil dalam bentuk bertambah rezekinya, kedudukannya atau pangkatnya, orang
lain semakin menghormatinya dan dia juga dihindarkan daripada bala penyakit,
kemiskinan dan sebagainya. Bertambah banyak amal kebaikan yang dilakukannya
bertambah besarlah harapan dan keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.
Sebahagian kaum muslimin yang lain mengaitkan
amal kebaikan dengan kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang amal
salih sebagai tiket untuk memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab api
neraka. Kerohanian orang yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya
mereka yang mencari keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak
tahan menempuh ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka sentiasa
selesa dan segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan. Apabila
sesuatu itu berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan gelisah.
Bala bencana membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang paling
malang di atas muka bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan,
mereka merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka
sendiri. Mereka mudah menjadi ego serta suka menyombong.
Apabila rohani seseorang bertambah teguh
dia
melihat amal itu sebagai jalan untuknya mendekatkan diri dengan Tuhan.
Hatinya tidak lagi cenderung kepada faedah duniawi dan ukhrawi tetapi dia
berharap untuk mendapatkan kurniaan Allah s.w.t seperti terbuka hijab-hijab
yang menutupi hatinya. Orang ini merasakan amalnya yang membawanya kepada
Tuhan. Dia sering mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian dengan
amal yang banyak dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang sunat, berpuasa
dan lain-lain. Bila dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang biasa dilakukannya
atau bila dia tergelincir melakukan kesalahan maka dia berasa dijauhkan
oleh Tuhan. Inilah orang yang pada peringkat permulaan mendekatkan dirinya
dengan Tuhan melalui amalan tarekat tasauf.
Jadi, ada golongan yang bersandar kepada
amal semata-mata dan ada pula golongan yang bersandar kepada Tuhan melalui
amal. Kedua-dua golongan tersebut berpegang kepada keberkesanan amal dalam
mendapatkan sesuatu. Golongan pertama kuat berpegang kepada amal zahir,
iaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar. Jika mereka tersalah
memilih ikhtiar, hilanglah harapan mereka untuk mendapatkan apa yang mereka
hajatkan. Ahli tarekat yang masih diperingkat permulaan pula kuat bersandar
kepada amalan batin seperti sembahyang dan berzikir. Jika mereka tertinggal
melakukan sesuatu amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan harapan
mereka untuk mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t. Sekiranya mereka tergelincir
melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan anugerah
Allah s.w.t.
Dalam perkara bersandar kepada amal ini,
termasuklah juga bersandar kepada ilmu, sama ada ilmu zahir atau ilmu batin.
Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran dan pengurusan sesuatu perkara menurut
kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah ilmu yang menggunakan kekuatan dalaman
bagi menyampaikan hajat. Ia termasuklah penggunaan ayat-ayat al-Quran dan
jampi. Kebanyakan orang meletakkan keberkesanan kepada ayat, jampi dan
usaha, hinggakan mereka lupa kepada Allah s.w.t yang meletakkan keberkesanan
kepada tiap sesuatu itu.
Seterusnya, sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian
seseorang meningkat kepada makam yang lebih tinggi. Nyata di dalam hatinya
maksud kalimat:
Tiada daya dan
upaya kecuali beserta Allah.
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )
“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat 96 : Surah as- Saaffaat )
Orang yang di dalam makam ini tidak lagi
melihat kepada amalnya, walaupun banyak amal yang dilakukannya namun, hatinya
tetap melihat bahawa semua amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t
kepadanya. Jika tidak kerana taufik dan hidayat dari Allah s.w.t tentu
tidak ada amal kebaikan yang dapat dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:
“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah an-Naml )
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya (dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 : Surah al-Insaan )
Segala-galanya adalah kurniaan Allah s.w.t
dan menjadi milik-Nya. Orang ini melihat kepada takdir yang Allah s.w.t
tentukan, tidak terlihat olehnya keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah
perbuatan dirinya sendiri. Makam ini dinamakan makam ariffin iaitu orang
yang mengenal Allah s.w.t. Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal
namun, merekalah yang paling kuat mengerjakan amal ibadat.
Orang yang masuk ke dalam lautan takdir,
reda dengan segala yang ditentukan Allah s.w.t, akan sentiasa tenang, tidak
berdukacita bila kehilangan atau ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat
makhluk sebagai penyebab atau pengeluar kesan.
Di awal perjalanan menuju Allah s.w.t,
seseorang itu kuat beramal menurut tuntutan syariat. Dia melihat amalan
itu sebagai kenderaan yang boleh membawanya hampir dengan Allah s.w.t.
Semakin kuat dia beramal semakin besarlah harapannya untuk berjaya dalam
perjalanannya. Apabila dia mencapai satu tahap, pandangan mata hatinya
terhadap amal mula berubah. Dia tidak lagi melihat amalan sebagai alat
atau penyebab. Pandangannya beralih kepada kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat
semua amalannya adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya dan kehampirannya
dengan Allah s.w.t juga kurniaan-Nya. Seterusnya terbuka hijab yang menutupi
dirinya dan dia mengenali dirinya dan mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya
sangat lemah, hina, jahil, serba kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha
Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan Sempurna dalam segala segi. Bila dia
sudah mengenali dirinya dan Tuhannya, pandangan mata hatinya tertuju kepada
Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang menerajui segala sesuatu dalam alam
maya ini. Jadilah dia seorang arif yang sentiasa memandang kepada Allah
s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung dan berhajat kepada-Nya. Dia
hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar