BAGAIMANA HATI AKAN DAPAT DISINARI SEDANGKAN GAMBAR-GAMBAR ALAM MAYA MELEKAT PADA CERMINNYA, ATAU BAGAIMANA MUNGKIN BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T SEDANGKAN DIA MASIH DIBELENGGU OLEH SYAHWATNYA, ATAU BAGAIMANA AKAN MASUK KE HADRAT ALLAH S.W.T SEDANGKAN DIA MASIH BELUM SUCI DARI JUNUB KELALAIANNYA, ATAU BAGAIMANA MENGHARAP UNTUK MENGERTI RAHSIA-RAHSIA YANG HALUS SEDANGKAN DIA BELUM TAUBAT DARI DOSANYA (KELALAIAN, KEKELIRUAN DAN KESALAHAN).
Hikmat 12 memberi penekanan tentang uzlah
iaitu mengasingkan diri. Hikmat 13 ini pula memperingatkan bahawa uzlah
tubuh badan sahaja tidak memberi kesan yang baik jika hati tidak ikut beruzlah.
Walaupun tubuh badan dikurung hati masih boleh disambar oleh empat perkara:
1: Gambaran, ingatan, tarikan dan keinginan terhadap benda-benda alam seperti harta, perempuan, pangkat dan lain-lain.
2: Kehendak atau syahwat yang mengarahkan perhatian kepada apa yang dikehendaki.
3: Kelalaian yang menutup ingatan terhadap Allah s.w.t.
4: Dosa yang tidak dibasuh dengan taubat masih mengotorkan hati.
1: Gambaran, ingatan, tarikan dan keinginan terhadap benda-benda alam seperti harta, perempuan, pangkat dan lain-lain.
2: Kehendak atau syahwat yang mengarahkan perhatian kepada apa yang dikehendaki.
3: Kelalaian yang menutup ingatan terhadap Allah s.w.t.
4: Dosa yang tidak dibasuh dengan taubat masih mengotorkan hati.
Diri manusia tersusun daripada anasir
tanah, air, api dan angin. Ia juga diresapi oleh unsur-unsur alam seperti
galian, tumbuh-tumbuhan, haiwan, syaitan dan malaikat. Tiap-tiap anasir
dan unsur itu menarik hati kepada diri masing-masing. Tarik menarik itu
akan menimbulkan kekacauan di dalam hati. Kekacauan itu pula menyebabkan
hati menjadi keruh. Hati yang keruh tidak dapat menerima sinaran nur yang
melahirkan iman dan tauhid. Mengubati kekacauan hati adalah penting untuk
membukakannya bagi menerima maklumat dari Alam Malakut. Hati yang kacau
itu boleh distabilkan dengan cara menundukkan semua anasir dan unsur tadi
kepada syariat. Syariat menjadi tali yang dapat mengikat musuh-musuh yang
cuba menawan hati. Penting bagi seorang murid yang menjalani jalan kerohanian
menjadikan syariat sebagai payung yang mengharmonikan perjalanan anasir-anasir
dan daya-daya yang menyerap ke dalam diri agar cermin hatinya bebas daripada
gambar-gambar alam maya. Bila cermin hati sudah bebas daripada gambar-gambar
dan tarikan tersebut, hati dapat menghadap ke Hadrat Ilahi.
Selain tarikan benda-benda alam,
hati boleh juga tunduk kepada syahwat. Syahwat bukan sahaja rangsangan
hawa nafsu yang rendah. Semua bentuk kehendak diri sendiri yang berlawanan
dengan kehendak Allah s.w.t adalah syahwat. Kerja syahwat adalah mengajak
manusia supaya lari dari hukum dan peraturan Allah s.w.t serta membangkang
takdir Ilahi. Syahwat membuat manusia tidak reda dengan keputusan Allah
s.w.t. Seseorang yang mahu menuju Allah s.w.t perlulah melepaskan dirinya
dari belenggu syahwat dan kehendak diri sendiri, lalu masuk ke dalam benteng
aslim iaitu berserah diri kepada Allah s.w.t dan reda dengan takdir-Nya.
Perkara ke tiga yang dibangkitkan
oleh Hikmat ke tiga belas ini ialah kelalaian yang diistilahkan sebagai
junub batin. Orang yang berjunub adalah tidak suci dan dilarang melakukan
ibadat atau memasuki masjid. Orang yang berjunub batin pula tertegah dari
memasuki Hadrat Ilahi. Orang yang di dalam junub batin iaitu lalai hati,
kedudukannya seperti orang yang berjunub zahir, di mana amal ibadatnya
tidak diterima. Allah s.w.t mengancam untuk mencampakkan orang yang bersembahyang
dengan lalai (dalam keadaan berjunub batin) ke dalam neraka wil.
Begitu hebat sekali ancaman Allah s.w.t kepada orang yang menghadap-Nya
dengan hati yang lalai.
Mengapa begitu hebat sekali ancaman
Allah s.w.t kepada orang yang lalai? Bayangkan hati itu berupa dan berbentuk
seperti rupa dan bentuk kita yang zahir. Hati yang khusyuk adalah umpama
orang yang menghadap Allah s.w.t dengan mukanya, duduk dengan tertib, bercakap
dengan sopan santun dan tidak berani mengangkat kepala di hadapan Maharaja
Yang Maha Agung. Hati yang lalai pula adalah umpama orang yang menghadap
dengan belakangnya, duduk secara biadab, bertutur kata tidak tentu hujung
pangkal dan kelakuannya sangat tidak bersopan. Perbuatan demikian adalah
satu penghinaan terhadap martabat ketuhanan Yang Maha Mulia dan Maha Tinggi.
Jika raja didunia murka dengan perbuatan demikian maka Raja kepada sekalian
raja-raja lebih berhak melemparkan kemurkaan-Nya kepada hamba yang biadab
itu dan layaklah jika si hamba yang demikian dicampakkan ke dalam neraka
wil. Hanya hamba yang khusyuk, yang tahu bersopan santun di hadapan Tuhannya
dan mengagungkan Tuhannya yang layak masuk ke Hadrat-Nya, sementara hamba
yang lalai, tidak tahu bersopan santun tidak layak mendekati-Nya.
Perkara yang ke empat adalah dosa-dosa
yang belum ditebus dengan taubat. Ia menghalang seseorang daripada memahami
rahsia-rahsia yang halus-halus. Pintu kepada Perbendaharaan Allah s.w.t
yang tersembunyi adalah taubat! Orang yang telah menyuci-bersihkan hatinya
hanya mampu berdiri di luar pintu Rahsia Allah s.w.t selagi dia belum bertaubat,
samalah seperti orang yang mati syahid yang belum menjelaskan hutangnya
terpaksa menunggu di luar syurga. Jika dia mahu masuk ke dalam Perbendaharaan
Allah s.w.t yang tersembunyi yang mengandungi rahsia yang halus-halus wajiblah
bertaubat. Taubat itu sendiri merupakan rahsia yang halus. Orang yang tidak
memahami rahsia taubat tidak akan mengerti mengapa Rasulullah s.a.w yang
tidak pernah melakukan dosa masih juga memohon keampunan sedangkan sekalipun
baginda s.a.w berdosa semuanya diampunkan Allah s.w.t. Adakah Rasulullah
s.a.w tidak yakin bahawa Allah s.w.t mengampunkan semua dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan
baginda s.a.w (jika ada)?
Maksud taubat ialah kembali, iaitu
kembali kepada Allah s.w.t. Orang yang melakukan dosa tercampak jauh daripada
Allah s.w.t. Walaupun orang ini sudah berhenti melakukan dosa malah dia
sudah melakukan amal ibadat dengan banyaknya namun, tanpa taubat dia tetap
tinggal berjauhan dari Allah s.w.t. Dia telah masuk ke dalam golongan hamba
yang melakukan amal salih tetapi yang berjauhan bukan berdekatan dengan
Allah s.w.t. Taubat yang lebih halus ialah pengayatan kalimat:
Tiada daya dan upaya melainkan anugerah Allah s.w.t.
Kami datang dari Allah s.w.t dan kepada Allah s.w.t kami kembali.
Segala sesuatu datangnya dari Allah
s.w.t, baik kehendak mahupun perbuatan kita. Sumber yang mendatangkan segala
sesuatu adalah Uluhiyah (Tuhan) dan yang menerimanya adalah ubudiyah (hamba).
Apa sahaja yang dari Uluhiyah adalah sempurna dan apa sahaja yang terbit
dari ubudiyah adalah tidak sempurna. Uluhiyah membekalkan kesempurnaan
tetapi ubudiyah tidak dapat melaksanakan kesempurnaan itu. Jadi, ubudiyah
berkewajipan mengembalikan kesempurnaan itu kepada Uluhiyah dengan memohon
keampunan dan bertaubat sebagai menampung kecacatan. Segala urusan dikembalikan
kepada Allah s.w.t. Semakin tinggi makrifat seseorang hamba semakin kuat
ubudiyahnya dan semakin kerap dia memohon keampunan dari Allah s.w.t, mengembalikan
setiap urusan kepada Allah s.w.t, sumber datangnya segala urusan.
Apabila hamba mengembalikan urusannya kepada
Allah s.w.t maka Allah s.w.t sendiri yang akan mengajarkan Ilmu-Nya yang
halus-halus agar kehendak hamba itu bersesuaian dengan Iradat Allah s.w.t,
kuasa hamba sesuai dengan Kudrat Allah s.w.t, hidup hamba sesuai dengan
Hayat Allah s.w.t dan pengetahuan hamba sesuai dengan Ilmu Allah s.w.t,
dengan itu jadilah hamba mendengar kerana Sama’ Allah s.w.t, melihat kerana
Basar Allah s.w.t dan berkata-kata kerana Kalam Allah s.w.t. Apabila semuanya
berkumpul pada seorang hamba maka jadilah hamba itu Insan Sirullah (Rahsia
Allah s.w.t).
Tidak ada komentar:
Posting Komentar